Ejen penggerak perubahan IR 4.0

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Tidak dapat dinafikan bahawa Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) membawa pelbagai perubahan dan cabaran kepada kehidupan dan ekonomi serta bidang perniagaan.

Namun begitu, ia membawa bersamanya pelbagai peluang termasuk peluang menerokai pasaran baharu, produk-produk baharu, penyelesaian serta membawa kaedah meningkatkan keberkesanan dalam model perniagaan yang sedia ada.

Pada masa yang sama, ia juga membawa pelbagai cabaran dan ancaman kepada perniagaan seperti gangguan kepada model perniagaan yang sedia ada, pengurusan dan data serta masalah sekuriti siber. Oleh itu, dalam dunia moden dan IR 4.0, peranan pengarah sesebuah syarikat juga harus berubah di mana mereka harus mempunyai kemahiran dan peka dengan perubahan di sekeliling mereka.

Perkara itu dinyatakan oleh ahli Pengasas Kumpulan Pakar ASEAN CG dan penceramah dari Universiti Kebangsaan Singapura, Profesor Madya Mak Yuen Teen ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Fiduciary Duty in the IR 4.0 semasa Forum Pengarah CIBFM-SIDC yang berlangsung di Hotel Radisson di ibu negara, hari ini.

Menurutnya lagi, risiko berasaskan teknologi bukanlah satu-satunya ancaman yang menyebabkan gangguan kepada perniagaan pada masa ini tetapi pelbagai risiko atau ancaman lain turut wujud dalam seperti perubahan tenaga kerja, risiko iklim, peperangan perdagangan dan perubahan sikap serta keperluan pelanggan.

Mereka juga harus peka dan mengambil perhatian terhadap risiko serta peluang yang baharu atau yang muncul yang boleh memberikan impak kepada perniagaan mereka.

Forum yang dianjurkan bersama oleh Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam (CIBFM) dan Securities Industry Development Corporation (SIDC) dengan sokongan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) itu dihadiri oleh ahli-ahli lembaga pengarah, setiausaha korporat, ketua pegawai eksekutif dan eksekutif C-Suite termasuk Pemangku Timbalan Pengarah Urusan AMBD, Hajah Rashidah binti Haji Sabtu.

Terdahulu, Pemangku Penolong Pengarah Urusan AMBD selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CIBFM, Hajah Sufinah binti Haji Sahat dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa para pengarah pada masa ini bukan sahaja perlu mempunyai sikap berani dan cekal tetapi mereka juga harus mempunyai kefahaman yang menyeluruh serta terlibat secara aktif dalam hampir setiap aspek operasi sesebuah perusahaan. Antara penceramah yang diketengahkan semasa forum itu ialah Profesor Madya Mak Yuen Teen; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Enterprise, Javed Ahmad; Rakan Kongsi Kanan Azmi & Associates, Datuk Azmi Mohd Ali dan ahli Majlis Pentadbir Institut Pengarah Singapura, Philip Forrest.

Profesor Madya Mak Yuen Teen menyampaikan ucaptama bertajuk Fiduciary Duty in the IR 4.0.