LONDON, 22 JULAI – Liverpool telah bersetuju untuk menandatangani penyerang Eintracht Frankfurt, Hugo Ekitike, dalam perjanjian bernilai 69 juta pound (AS$92 juta) pada peringkat awal, menurut laporan kelmarin.
Juara Liga Perdana itu mengalihkan fokus mereka kepada Ekitike selepas Newcastle enggan menjual penyerang Sweden, Alexander Isak, yang dinilai sekitar 150 juta pound oleh kelab tersebut.
Newcastle dan Manchester United juga berminat terhadap Ekitike, namun Liverpool dilihat berada di landasan untuk memenangi persaingan mendapatkan salah seorang bintang muda paling menyerlah di Eropah.
Difahamkan Liverpool turut bersetuju untuk membayar tambahan sebanyak 10 juta pound bergantung kepada prestasi, menjadikan jumlah keseluruhan nilai perpindahan pemain Perancis berusia 23 tahun itu boleh mencecah 79 juta pound.
Setelah urusan perpindahan dilengkapkan, Ekitike akan menyertai skuad kendalian Arne Slot dalam jelajah pramusim mereka di Asia.
Ekitike menjaringkan 22 gol dalam 48 perlawanan dalam semua kejohanan musim lalu bersama Frankfurt selepas berpindah dari Paris Saint-Germain ke kelab Bundesliga itu.
Dia tidak diturunkan dalam perlawanan persahabatan pramusim pasukannya menentang FSV Frankfurt pada Sabtu lalu, dengan pengendali Eintracht, Dino Toppmoller, mengakui bahawa pemergian Ekitike adalah satu ‘kehilangan yang pahit’.
Liverpool kini mempunyai kekosongan di barisan serangan selepas kematian Diogo Jota akibat kemalangan jalan raya di Sepanyol, baru-baru ini.
The Reds juga dilaporkan bersedia untuk menjual penyerang Uruguay, Darwin Nunez, manakala penyerang Colombia, Luis Diaz, juga menjadi sasaran bidaan yang ditolak daripada Bayern Munich.
Liverpool sebelum ini telah berbelanja sebanyak 116 juta pound untuk mendapatkan pemain tengah Jerman, Florian Wirtz, selain menandatangani dua pertahanan – Jeremie Frimpong dan Milos Kerkez – masing-masing dari Bayer Leverkusen dan Bournemouth. – AFP
