GENEVA – Penduduk pulau kecil Pari di Indonesia, yang diancam akan lenyap akibat kenaikan paras laut yang didorong oleh perubahan iklim, telah pergi ke Switzerland untuk menuntut pampasan daripada syarikat gergasi simen Holcim.
Kes itu adalah sebahagian daripada gerakan antarabangsa yang lebih luas yang ingin menggesa syarikat-syarikat besar agar bertanggungjawab terhadap kerosakan iklim yang menjejaskan mata pencarian berjuta-juta orang, terutamanya di Selatan Global.
Lebih dua tahun selepas empat penduduk Pari memfailkan saman terhadap firma simen terbesar dunia itu, dua daripada mereka telah pergi ke Switzerland untuk terlibat
dalam perbicaraan awal dalam kes bersejarah itu.
Perbicaraan untuk menentukan sama ada mahkamah akan mempertimbangkan aduan itu akan berlangsung di Zug, ibu pejabat firma berkenaan.
Holcim menegaskan ia amat komited untuk mengambil tindakan terhadap iklim, tetapi menmpertahankan persoalan siapa yang dibenarkan untuk melepaskan jumlah karbon (CO2) yang sepatutnya merupakan isu untuk badan perundangan dan bukan persoalan untuk mahkamah sivil.





Pencinta alam sekitar berkata pengeluaran simen bertanggungjawab atas kira-kira 8 peratus daripada pelepasan CO2 global dan mendakwa bahawa Holcim merupakan antara 100 pengeluar CO2 terbesar dalam kalangan semua syarikat di seluruh dunia.
Justeru, syarikat itu memikul tanggungjawab besar untuk kerugian dan kerosakan berkaitan iklim, menurut saman, dalam kes yang boleh menjadi peristiwa penting bagi plaintif dari negara membangun yang mengambil tindakan terhadap syarikat gergasi perindustrian.
INSPIRASI
“Saya harap kes itu akan menjadi inspirasi… untuk mangsa iklim di seluruh dunia,” kata plaintif Asmania kepada pemberita di bandar Lausanne di Switzerland sebelum perbicaraan, bercakap melalui penterjemah.
Pencinta alam sekitar berkata kebanyakan pulau Pari seluas 42 hektar itu mungkin berada di bawah air menjelang 2050 disebabkan peningkatan paras air laut.
Penduduk pulau berkata banjir air masin sejak beberapa tahun kebelakangan ini meningkat dari segi skala dan kekerapan, melanda rumah dan menjejas mata pencarian.
Asmania, ibu kepada tiga anak dan berusia 42 tahun, telah pun kehilangan ladang rumpai lautnya akibat banjir, yang turut memusnahkan ladang ikannya, dengan lumpur dan minyak.
Tahun ini, dia bermula dengan 500 ekor anak ikan kecil dan kini hanya tinggal sembilan ekor, katanya sambil menambah bahawa tidak adanya hasil pendapatan.
ANCAMAN TERBESAR
Seorang lagi plaintif, mekanik dan pengurus pantai berusia 54 tahun, Arif Pujianto, juga berkata impak iklim memberikan kesan yang teruk.
“Krisis iklim adalah ancaman terbesar kepada hidup saya,” katanya menerusi penterjemah.
Beliau menyifatkan banjir teruk di Pantai Star telah mengecilkan hamparan pasir sebanyak sembilan meter sejak 2021, mengusir pelancong penting yang menjana pendapatannya.
Pada masa yang sama, banjir air pasang kini kerap menjejaskan rumah buluhnya, mereputkan dinding dan mencemari periginya, sekali gus memaksanya membeli air minuman untuk keluarganya pada harga tinggi.
Bengkel kecil tempat dia membaiki motosikal dan enjin diesel juga berulang kali ditenggelami air, menyebabkan peralatannya berkarat, katanya.
Jika mahkamah Switzerland enggan mengambil kes itu, Arif berkata dia bimbang dia akan kehilangan pantainya, pulaunya dan juga nyawanya.
LITIGASI ALAM SEKITAR
Perbicaraan alam sekitar terhadap kerajaan dan firma bahan api fosil yang dilihat bertanggungjawab terhadap pelepasan CO2 terbesar telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi kes itu menandakan tindakan pertama sedemikian terhadap syarikat simen utama.
Ia juga merupakan yang pertama difailkan oleh warga Indonesia terhadap syarikat asing atas kerosakan berkaitan iklim dan contoh pertama syarikat Switzerland yang disaman atas peranannya dalam kerosakan tersebut.
Empat plaintif dalam kes itu menuntut 3,600 franc Swiss (AS$4,500) setiap seorang daripada Holcim untuk ganti rugi dan langkah perlindungan seperti menanam bakau dan membina benteng pemecah ombak.
Swiss Church Aid (HEKS), sebuah NGO yang membantu penduduk pulau, menegaskan jumlah itu hanya bersamaan dengan 0.42 peratus daripada kos sebenar, selaras dengan anggaran bahawa Holcim bertanggungjawab atas 0.42 peratus daripada pelepasan CO2 industri global sejak 1750.
Selain itu, plaintif menuntut pengurangan 43 peratus dalam pelepasan gas rumah hijau Holcim menjelang 2030 dan 69 peratus menjelang 2040, dengan HEKS berkata ia selaras dengan matlamat Perjanjian Iklim Paris untuk mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius, berbanding era pra-industri. – AFP

