Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 APRIL – Laporan ASEAN+3 Regional Economic Outlook (AREO) 2025 terbitan Pejabat Penyelidikan Makroekonomi (AMRO) ASEAN+3 mengetengahkan daya ketahanan dan kapasiti dasar rantau berkenaan bertujuan menahan kejutan perdagangan global yang tidak pernah berlaku sebelum ini berikutan pengumuman tarif menyeluruh pentadbiran Amerika Syarikat (AS) pada 2 April lalu.
Tarif tersebut menandakan peningkatan mendadak dalam perlindungan perdagangan dan telah mewujudkan ketidakpastian yang jauh melebihi jangkaan pasaran.
Pengumuman tarif yang meluas oleh AS serta perkembangannya sejak itu telah menambah kesan yang ketara kepada prospek rantau ASEAN+3.
Namun begitu, ekonomi-ekonomi ASEAN+3 pada hari ini adalah lebih berdaya tahan dan pelbagai berbanding kejutan global sebelumnya serta berada di kedudukan yang lebih baik untuk menangani kejutan tarif berkenaan.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pakar Ekonomi AMRO, Hoe Ee Khor semasa sidang media mengenai laporan AREO 2025 yang berlangsung di Singapura secara fizikal dan dalam talian, hari ini.

Rantau ASEAN+3 berdepan impak yang tidak seimbang daripada tarif AS di mana 13 daripada 14 buah negara anggota tertakluk kepada beberapa kadar tarif tertinggi dalam pengumuman pada 2 April lalu dengan purata perdagangan dianggarkan pada 26 peratus, tidak termasuk China.
Kadar itu kekal tidak berubah dan berkemungkinan akan terus meningkat dalam beberapa bulan akan datang. Tarif itu serta ketidakpastian yang tercetus akibat peralihan berterusan dalam dasar dijangka melemahkan momentum perdagangan, mengganggu rantaian bekalan dan meningkatkan ketidaktentuan pasaran kewangan.
Sementara itu, Ketua Kumpulan AMRO untuk Pengawasan Serantau, Allen Ng, semasa sidang media menekankan kepentingan memperkasa semula pembaharuan struktur dan meningkatkan produktiviti bagi membuka potensi pertumbuhan rantau yang belum diterokai.
“Mempercepatkan pendigitalan, menerima pakai peralihan hijau dan meningkatkan produktiviti boleh membantu ASEAN+3 mengekalkan pertumbuhan yang berdaya tahan dan berkualiti tinggi,” tambahnya.
Beliau menyatakan dasar utama jangka sederhana hingga panjang bagi mencapai matlamat berkenaan termasuk menaik taraf keupayaan perindustrian, mempelbagaikan industri dan pasaran tenaga boleh diperbaharui, merapatkan jurang pelaburan, mengukuhkan kapasiti institusi, meningkatkan produktiviti perkhidmatan serta memperkukuh integrasi dalam bidang seperti perkhidmatan dan perdagangan digital.
Ekonomi ASEAN+3 mempunyai ruang dasar yang mencukupi untuk melindungi kejutan jangka pendek. Banyak kerajaan mempunyai kapasiti fiskal untuk menyalurkan sokongan yang disasarkan kepada sektor yang terdedah serta mengekalkan permintaan tempatan.
Pada masa yang sama, bank pusat di rantau berkenaan mempunyai ruang untuk melonggarkan dasar monetari memandangkan kadar inflasi yang rendah dan boleh menggunakan kaedah makro dan kemudahan kecairan bagi mengawal kestabilan kewangan.
Selain itu, rantau berkenaan kini disokong oleh pasaran eksport yang lebih pelbagai. Bahagian eksport rantau itu ke AS telah menurun secara berterusan selama bertahun-tahun. Eksport ke AS kini hanya membentuk 15 peratus daripada eksport kasar, berbanding kira-kira 24 peratus pada 2000.
Memperkukuh perdagangan antara wilayah dan pasaran domestik yang berkembang pesat telah mengurangkan pergantungan kepada mana-mana pasaran eksport tunggal.
Kemajuan berterusan dalam integrasi serantau dan kepelbagaian perdagangan akan mengukuhkan lagi keupayaan rantau itu untuk mengharungi pergolakan global.
Ketika rantau itu bertindak balas terhadap risiko jangka pendek berkenaan, ia harus terus menyasarkan untuk mencapai matlamat pembangunan untuk memulihkan pertumbuhan jangka panjangnya yang merosot dan seterusnya membina ketahanan terhadap kejutan luaran.
Sebagai kesimpulan, Khor menyatakan walaupun berhadapan dengan persekitaran tidak menentu masa kini, rantau ASEAN+3 telah membuktikan keupayaannya untuk bertahan dan menyesuaikan diri.
“ASEAN+3 telah membuktikan ketahanannya yang luar biasa dalam menghadapi kejutan global. Dalam landskap perdagangan yang tidak menentu ini, perpaduan dan tindakan selaras adalah penting. Tidak ada pemenang dalam perang perdagangan, tetapi bersama-sama, kita boleh bangkit lebih kuat,” katanya.