Friday, January 17, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ekonomi Asia baru muncul pulih pada 2022

    KUALA LUMPUR, 22 MAC – Ekonomi Asia yang baru muncul dijangka akan meneruskan pemulihan pada 2022 tetapi masih terdapat ketidakpastian yang tinggi dalam separuh pertama tahun ini, menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

    Secara keseluruhan, Ketua Meja Asia di Pusat Pembangunan OECD, Kensuke Tanaka berkata ekonomi Asia yang baru muncul dijangka meningkat secara purata sebanyak 5.8 peratus pada tahun ini dan 5.2 peratus menjelang 2023.

    “Unjuran untuk pertumbuhan ekonomi menghadapi beberapa risiko seperti gelombang Omicron, kemungkinan kemunculan varian baharu COVID-19 yang membimbangkan, kenaikan inflasi serta gangguan bekalan dari Asia yang baru muncul,” katanya semasa pelancaran maya laporan ‘Tinjauan Ekonomi untuk Asia Tenggara, China dan India 2022 : Pembiayaan Pemulihan Mampan daripada COVID-19’ hari ini.

    Pembuat dasar di rantau ini perlu memperluaskan pilihan pembiayaan termasuk memperdalamkan pasaran modal dan instrumen bagi memastikan pemulihan yang lebih mampan.

    Sementara itu, Setiausaha Agung OECD Mathias Cormann berkata kerajaan di rantau ini perlu melaksanakan dasar makroekonomi dan struktur yang berkesan untuk menjaga ekonomi mereka selain meneruskan kemajuan dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

    “Kesan global perang di Ukraine dan kenaikan kadar faedah dalam ekonomi maju dapat mempengaruhi pasaran kewangan. Keuntungan serta pemberian pinjaman bank telah jatuh di banyak negara di rantau ini sejak permulaan pandemik dan kemerosotan pasaran buruh akan mengambil masa untuk dipulihkan,” jelasnya.

    Beberapa negara di Asia yang baru muncul terus menyediakan rangsangan fiskal tetapi tahapnya lebih sederhana berbanding semasa permulaan pandemik. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda