Oleh SIM Y.H. –
Wawasan Negara 2035 merupakan gagasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang dimanifestasikan bagi memastikan Negara Brunei Darussalam menjadi sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya, mempunyai kehidupan yang berkualiti serta ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.
Sehubungan itu, ketika negara menginjak usia kemerdekaannya ke-40 pada tahun 2024, seluruh rakyat Brunei diseru untuk bersatu padu dalam menghadapi pelbagai cabaran selain mencerminkan semangat patriotisme, ketahanan serta tekad untuk menjaga kedaulatan, keamanan, kesejahteraan dan keutuhan negara serta bangsa.
BERSATU MENCAPAI CITA NEGARA
Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 tahun (HK40) mengetengahkan tema, Bersatu Mencapai Cita Negara, di mana ia memberikan pandangan menyeluruh mengenai semangat kebangsaan, kemerdekaan serta aspirasi pembangunan negara.
Pencapaian dan perkembangan selama bertahun-tahun telah mewujudkan landasan bagi harapan dan komitmen masa hadapan dengan nilai serta amalan keBruneian yang diwarisi menjamin kelangsungan hidup beraja, bernegara dan bermasyarakat.
WAWASAN NEGARA 2035 DAN PEMBANGUNAN EKONOMI NEGARA
Dalam meniti usia kemerdekaan selama empat dekad, negara bukan sahaja telah melalui perubahan landskap infrastruktur seiring dengan peredaran masa tetapi juga mencapai pembangunan fizikal, ekonomi dan teknologi setaraf dengan rakan-rakan serantau.
Ke arah mencapai Wawasan Negara 2035, segenap lapisan rakyat dan penduduk negara terus bersatu dan setia kepada raja dan negara berteraskan nilai-nilai murni yang diterapkan menerusi falsafah Melayu Islam Beraja demi menggapai hasrat sebuah negara maju yang terus relevan di persada serantau dan antarabangsa.
Semua itu dapat dicapai melalui usaha transformasi ekonomi yang menjurus kepada usaha mempelbagaikan ekonomi dan tidak bergantung sepenuhnya kepada industri minyak dan gas.
Perkembangan ekonomi negara memerlukan usaha padu untuk mempelbagaikan ekonomi negara secara menyeluruh di mana pembangunan sektor bukan minyak dan gas serta sektor minyak dan gas terus maju ke hadapan demi pembangunan negara yang mampan dalam menerajui arus perubahan serantau dan global.
“Beberapa usaha ke arah mempelbagaikan ekonomi negara kita telah dan akan terus dilaksanakan bagi membantu perkembangan dan pertumbuhan sektor swasta melalui pembangunan perniagaan tempatan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk usaha-usaha bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI).
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita telah menyaksikan perkembangan yang menggalakkan dalam sektor bukan minyak dan gas. Namun demikian, usaha-usaha untuk mempelbagaikan ekonomi perlu diteruskan dan dilipatgandakan dalam sektor tersebut melalui penglibatan pihak swasta khususnya pengusaha-pengusaha tempatan, GLC dan FDI bagi membina asas ekonomi yang lebih kukuh, luas, berdaya tahan dan berdaya maju sepertimana yang dihasratkan di bawah matlamat ketiga dalam Wawasan Brunei 2035 iaitu Ekonomi yang Dinamik dan Berdaya Tahan.”
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika membentangkan Kertas Cadangan Rang Undang-undang (2023) Perbekalan 2023/2024 semasa Permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis pada Mac 2023 lalu.
Beliau menyatakan bahawa Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah melancarkan Pelan Tindakan Ekonomi dan peta-peta jalan di bawah sektor industri pemakanan, industri hiliran minyak dan gas serta industri perkhidmatan maritim yang bertujuan untuk menambah baik ekosistem di mana industri-industri tempatan dapat meningkatkan usaha masing-masing ke arah memperkukuhkan lagi kedayatahanan ekonomi negara.
“Pelan-pelan tindakan dan peta-peta jalan ini adalah penting untuk merancang dan mencapai pembangunan negara dalam jangka masa yang sederhana dan panjang demi mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035,” tambah beliau.
TONGGAK UTAMA DALAM STRATEGI PEMBANGUNAN EKONOMI
Kerajaan menggandakan usahanya dalam memupuk pertumbuhan industri-industri baharu yang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi selaras dengan Peta Jalan Industri dan Pelan Tindakan Ekonomi Brunei yang menyasarkan kepada lima sektor utama iaitu hiliran minyak dan gas, perkhidmatan, makanan, ICT dan pelancongan.
Dalam lima tahun kebelakangan ini, lima sektor utama berkenaan telah menunjukkan trend yang meningkat terutamanya dalam sektor hiliran minyak dan gas. Sektor berkenaan dijangka akan berkembang lebih maju apabila projek petrokimia Pulau Muara Besar (PMB) Hengyi membangunkan fasa kedua penapisan minyak Brunei.
Mengenal pasti akan peranan penting yang dimainkan oleh sektor swasta sebagai sebuah enjin pertumbuhan ekonomi, kerajaan terus komited untuk memupuk sebuah persekitaran perniagaan yang kondusif.
Dalam hubungan itu, kerajaan secara aktif mengemaskinikan peraturan, menarik FDI berkualiti tinggi, menyediakan ruang perindustrian dan memupuk pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui program yang disasarkan di bawah Darussalam Enterprise (DARe).
Kementerian Kewangan dan Ekonomi juga meningkatkan akses kepada pasaran luar negara dengan penggubalan dan pelaksanaan dasar perdagangan termasuk Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP).
Di samping itu, penglibatan aktif dalam FTA dengan rakan-rakan kongsi utama menjaminkan cukai import rendah bagi perniagaan tempatan sekali gus membuka akses kepada pasaran yang lebih besar serta menarik pelaburan bagi usaha mempelbagaikan ekonomi.
Kerajaan juga aktif mempromosikan transformasi digital dan inovasi melalui dasar-dasar pemboleh serta pelaburan.
Menerusi kerjasama pelbagai agensi dalam negara, kerajaan secara aktif menggunakan pendekatan pelbagai serampang untuk menyokong dan mempromosikan inovasi baharu termasuk penubuhan Makmal Inovasi Brunei (BIL), Projek Hab Pembayaran Digital, Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 dan pemodenan sistem perkhidmatan seperti TAFIS 2.0 dan One Common Billing System (OCBS).
Sambil menganjak pertumbuhan ekonomi negara, semua pihak yang berkepentingan harus mengambil kira keperluan untuk mengimbangi antara pertumbuhan ekonomi dan tanggungjawab alam sekitar.
Negara Brunei Darussalam komited sepenuhnya kepada seruan global bagi perubahan iklim mampan dan bertindak dengan memanfaatkan dasar-dasar kemampanan termasuk pelaksanaan peta jalan kebangsaan memerangi perubahan iklim, Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BNCCP) dan kemungkinan penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN (ACCC) di Negara Brunei Darussalam.
USAHA SELURUH NEGARA UNTUK MEMBANGUNKAN EKONOMI NEGARA
Dalam usaha untuk membangunkan ekonomi negara yang berdaya tahan dan mampan, segenap lapisan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam perlu sama-sama mendukung, menyokong dan memanfaatkan inisiatif-inisiatif untuk membangunkan ekonomi negara bagi memastikan ia membawa kepada kemakmuran, keamanan dan pembangunan negara yang mampan.