WASHINGTON, 28 APRIL – Pertumbuhan Asia semakin perlahan susulan ketegangan perdagangan yang berterusan, kata Pengarah Jabatan Asia dan Pasifik Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Krishna Srinivasan, sambil memberi amaran yang ekonomi berpendapatan rendah di Asia berisiko terjejas lebih teruk, lapor Xinhua.
Khamis lepas, IMF mengunjurkan pertumbuhan di Asia dan Pasifik akan perlahan kepada 3.9 peratus tahun ini berikutan ketegangan perdagangan yang semakin memuncak, menandakan penurunan 0.5 mata peratusan berbanding unjuran sebelum ini.
Penurunan itu dikaitkan dengan ‘tarif, ketegangan perdagangan, ketidakpastian yang meningkat serta pengetatan keadaan kewangan,’ kata Srinivasan dalam satu wawancara dengan Xinhua selepas IMF mengeluarkan unjuran terbaharunya untuk Asia.
“Ketidakpastian yang meningkat, pengetatan lanjut dalam keadaan kewangan dan kelembapan permintaan luar semuanya boleh menjejaskan rantau ini dengan lebih teruk,” katanya.
Srinivasan berkata ekonomi kecil dan berpendapatan rendah berdepan risiko lebih besar akibat ancaman tarif Amerika Syarikat yang tinggi.
Beliau berkata tidak semua negara mempunyai ruang dasar fiskal yang mencukupi untuk bertindak balas.
“Dalam konteks kejutan besar seperti tarif, kejatuhan mendadak permintaan luar… ditambah pula dengan kekurangan ruang dasar menjadikan negara terlibat jauh lebih terdedah,” katanya.
“Negara kecil mungkin kurang berpengaruh dan mempunyai fleksibiliti yang terhad untuk berunding. Ini tidak membawa petanda yang baik,” katanya.
Melihat ke hadapan, Srinivasan menggalakkan ekonomi Asia untuk meningkatkan penggunaan domestik dan membangunkan model pertumbuhan yang lebih seimbang yang bergantung kepada permintaan domestik serta eksport. – Bernama
