Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Dis – Ekonomi Negara Brunei Darussalam terus berkembang pada kadar 1.2 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2017 selepas peningkatan sebanyak 0.7 peratus pada suku sebelumnya.
Menurut kenyataan daripada Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), di sini, perkembangan ini dipacu oleh permintaan dalam negeri khususnya Perbelanjaan Kapital Sektor Swasta yang terus berkembang pada kadar 16.3 peratus setelah meningkat sebanyak 28.5 peratus pada suku sebelumnya.
Manakala Perbelanjaan Penggunaan Isi rumah pula merekodkan pertumbuhan berterusan sebanyak 2.7 peratus, lanjutan kepada pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus pada suku kedua 2017.
Dari segi penawaran (supply), pertumbuhan positif tersebut didorong terutama oleh Sektor Industri yang terus meningkat sebanyak 1.1 peratus.
Menurut kenyataan itu lagi, prestasi ini didukung oleh Sektor Pembinaan dengan pertumbuhan sebanyak 16.2 peratus, diikuti oleh Sektor Elektrik dan Air meningkat sebanyak 10.0 peratus, Pembuatan Gas Asli Cecair (LNG) berkembang sebanyak 7.2 peratus berikutan pengeluaran LNG yang lebih tinggi sebanyak 5.8 peratus (52.4 ribu MMbtu sehari) iaitu 949.3 ribu MMBtu sehari pada Q3 2017 berbanding 897.0 ribu MMbtu sehari pada Q3 2016, dan Pembuatan Produk Makanan dan Minuman berkembang 2.5 peratus tahun-ketahun.
Sektor Perkhidmatan meningkat sebanyak 1.3 peratus tahun ke tahun, lanjutan daripada pertumbuhan sebanyak 0.1 peratus pada suku sebelumnya. Pertumbuhan ini terutamanya disumbangkan oleh Perkhidmatan Perniagaan yang berkembang sebanyak 10.7 peratus dan Pengangkutan Air sebanyak 9.8 peratus.
Sementara itu, Sektor Pertanian, Perhutanan dan Perikanan mencatatkan penurunan sebanyak 0.9 peratus berikutan kemerosotan dalam pengeluaran Sektor Perhutanan; serta Ternakan dan Ayam.
Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) adalah ukuran bagi jumlah nilai barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam tempoh tertentu setelah ditolak kos barangan dan perkhidmatan yang digunakan dalam proses pengeluaran.
Laporan penuh KDNK Suku Ketiga 2017 boleh didapati melalui laman web JPKE: www.depd.gov.bn.