Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ekonomi Brunei meningkat, inflasi terkawal

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – Ekonomi Negara Brunei Darussalam mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.2 peratus pada 2024 dengan penurunan inflasi domestik sebanyak 0.4 peratus.

    Penurunan itu disokong oleh subsidi dan kawalan harga daripada kerajaan terhadap beberapa barangan pengguna serta dasar monetari negara yang berasaskan Lembaga Mata Wang yang didukung oleh Perjanjian Kesalingbolehtukaran Mata Wang antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

    Pencapaian itu adalah amat sorotan utama daripada Laporan Tahunan (AR) 2024 yang diterbitkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), hari ini.

    Laporan tahun berkenaan menggariskan pencapaian utama BDCB dalam melaksanakan mandat serta perkembangan dasar sepanjang 2024.

    Sorotan utama lain daripada laporan berkenaan ialah BDCB terus menyokong sektor kewangan yang kukuh dan stabil, yang melindungi pengguna dan selaras dengan piawaian antarabangsa, dengan mengeluarkan dan mengemas kini beberapa dasar utama pada 2024.

    Gambar Freepik

    Dasar-dasar berkenaan merangkumi pengurusan risiko kecairan untuk bank-bank, pengukuhan usaha ketekunan wajar pelanggan dan ketelusan, serta kedayatahanan operasi dan keselamatan siber sistem kewangan kritikal.

    Pemeriksaan berterusan onsite dan offsite ke atas institusi-institusi kewangan telah dilaksanakan sepanjang 2024 untuk menilai tadbir urus dan kawalan dalaman, pengurusan risiko, kedayatahanan kewangan, pematuhan kepada peraturan pencegahan pengubahan wang haram serta membanteras pembiayaan keganasan (AML/CFT), pematuhan syariah dan kawalan risiko teknologi.

    Dalam usaha untuk memajukan sektor kewangan negara, BDCB telah berjaya menganjurkan Simposium Kewangan Islam Brunei Darussalam yang pertama di mana ia mengetengahkan kewangan Islam sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi.

    Selain itu, BDCB juga telah melancarkan Pusat lnovasi FinTech Mekar bagi menyokong ekosistem FinTech yang semakin berkembang di negara ini.

    Sempena Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam ke-40, BDCB telah mengeluarkan duit syiling kenang-kenangan sebagai penghormatan terhadap kebanggaan dan warisan negara.

    BDCB juga telah memperkenalkan duit syiling edaran dalam bahan mono-ply plated steel yang menawarkan syiling yang lebih tahan dan selamat serta menyokong kelestarian alam sekitar.

    Dalam memperkukuhkan lagi sektor kewangan Negara Brunei Darussalam melalui penglibatan aktif di peringkat global dan serantau, BDCB sebagai Pengerusi Lembaga Taksonomi ASEAN memainkan peranan penting dalam pelancaran Taksonomi ASEAN Versi 3 iaitu satu pencapaian penting dalam membimbing pelaburan mampan di rantau ini.

    Laporan Tahunan dan Laporan Kestabilan Kewangan BDCB 2024 yang penuh boleh didapati di laman sesawang BDCB, www.bdcb.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda