Oleh Azlan Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Ekonomi Brunei berkembang 2.8 peratus tahun-ke-tahun dalam suku kedua (Q2) tahun ini, menurut Pusat Kajian Strategik dan Dasar (CSPS) dalam kemas kini Oktober mengenai ekonomi Brunei.
CSPS menyatakan bahawa pertumbuhan itu sebahagian besarnya disokong oleh pengeluaran petrokimia dengan pandemik telah menjejaskan terus industri perjalanan dan pelancongan.
Pengangkutan udara dan subsektor hotel Brunei masing-masing mengecut lebih 90 peratus dan 50 peratus dalam Q2, sementara itu subsektor restoran mengecut sebanyak 20 peratus. Sebaliknya, subsektor telekomunikasi berkembang kira-kira 3 peratus.
CSPS berkata, ekonomi global mengecut dalam suku kedua 2020 apabila langkah-langkah pembendungan COVID-19 menyekat teruk bekalan tenaga kerja dan menjejaskan pengeluaran.
Output di Amerika Syarikat (AS) menjunam pada rekod 9.1 peratus tahun ke tahun pada Q2 berbanding di China, output pulih dengan pantas, berkembang 3.2 peratus.
Selepas Mac yang bergolak, keadaan kewangan bertambah baik. Pasaran-pasaran saham utama pulih, aliran modal kembali ke pasaran-pasaran baharu dan kebanyakan mata-mata wang serantau mengukuh berbanding dolar AS. Harga minyak pulih tetapi kekal dua pertiga daripada tahap Januari.
CSPS juga berkata, sejak 1970, terdapat enam kejatuhan harga minyak sebelum COVID-19 melanda. Respons fiskal Brunei adalah berbeza-beza, bergantung pada keadaan kejutan.
Perbelanjaan fiskal jauh berkurangan semasa penurunan harga minyak pada 1985-1986 dan 2014-2016. Berbanding tempoh itu, perbelanjaan kekal mantap semasa krisis kewangan Asia 1997-1998 dan meningkat semasa krisis kewangan global 2008-2009.
Sementara itu, dalam kemas ki-ninya mengenai ekonomi Brunei yang diterbitkan pada Julai lalu, CSPS berkata, pandemik COVID-19 telah menjejaskan teruk aktiviti ekonomi global.
Ekonomi global pada tahun ini diramalkan mengalami kemerosotan paling teruk sejak Perang Dunia Kedua sebalik sokongan dasar yang tidak pernah wujud sebelumnya.
Langkah-langkah pembendungan pandemik, seperti sekatan-sekatan perjalanan antarabangsa dan perintah berkurung dalam negara, walaupun perlu dilaksanakan untuk mengawal penularan penyakit, telah menyebabkan perjalanan dan pelancongan global terhenti sepenuhnya,
Brunei berjaya mengawal penularan COVID-19 dengan melaksanakan langkah-langkah pembendungan lebih awal. Ini, bagaimanapun, telah menjejaskan aktiviti dalam beberapa subsektor.
Pada suku pertama (Q1), pertumbuhan perlahan kepada 2.4 peratus dan pertumbuhan negara pada tahun ini telah disemak semula lebih rendah kepada antara 1 dan 2 peratus.
Mengenai impak COVID-19 di Brunei menggunakan langkah-langkah hampir masa sebenar, CSPS berkata bahawa menggunakan data pencarian Google sebagai proksi bagi permintaan pengguna, sektor berkaitan perjalanan dan perkhidmatan bersemuka pengguna di Brunei telah mengalami pengecutan bermula pertengahan Mac hingga Mei apabila langkah-langkah pembendungan paling keras dilaksanakan. Aktiviti ekonomi pulih secara perlahan-lahan sejak awal Jun.