BEIJING, 18 MAC – Ekonomi China mencatatkan permulaan mantap dengan pelbagai petunjuk utama terus meningkat dalam dua bulan pertama tahun ini.
Data Biro Statistik Negara (NBS) menunjukkan dari Januari hingga Februari, nilai tambah industri berskala besar naik 5.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas. Antaranya, nilai tambah sektor pembuatan peralatan meningkat sebanyak 10.6 peratus.
Sementara itu, jualan runcit barang pengguna di seluruh negara menokok empat peratus dari tahun ke tahun.
Industri hijau pula terus berkembang pesat sejak awal tahun ini, didorong oleh momentum yang mampan dalam sektor berkenaan.
Menurut NBS, nilai tambah sektor pembuatan berteknologi tinggi yang berskala besar meningkat 9.1 peratus dari tahun ke tahun manakala jumlah pengeluaran kenderaan tenaga baharu melonjak sebanyak 47.7 peratus. – Bernama
