BEIJING, 17 JAN – China hari ini mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi paling perlahan dalam beberapa dekad, di tengah kebimbangan terhadap potensi konflik perdagangan dengan Presiden Amerika Syarikat yang bakal dilantik, Donald Trump.
Dalam usaha merancakkan semula ekonominya, Beijing telah mengumumkan langkah rangsangan signifikan bagi menangani krisis hutang pasaran hartanah yang berlarutan serta kelembapan perbelanjaan domestik.
Bagaimanapun, gesaan untuk mendapatkan sokongan dasar tambahan semakin lantang selepas data rasmi menunjukkan ekonomi China berkembang sebanyak lima peratus pada 2024.
Angka yang dikeluarkan oleh Biro Statistik Negara (NBS) itu melebihi unjuran 4.9 peratus daripada tinjauan penganalisis, tetapi lebih rendah berbanding pertumbuhan 5.2 peratus yang dicatatkan pada 2023.
Pertumbuhan itu dicatat meskipun menghadapi tekanan domestik dan antarabangsa, menurut NBS.
Jualan runcit, yang menjadi petunjuk utama sentimen pengguna, meningkat 3.5 peratus, penurunan ketara daripada 7.2 peratus pada 2023. Namun keluaran industri meningkat kepada 5.8 peratus berbanding 4.6 peratus pada tahun sebelumnya.
Lonjakan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.4 peratus dalam empat bulan terakhir mengatasi unjuran lima peratus tinjauan Bloomberg dan jauh lebih baik berbanding tempoh yang sama pada 2023.
Data itu memberikan isyarat bercampur, kata Presiden Pengurusan Aset Pinpoint, Zhiwei Zhang.
“Peralihan dasar Beijing telah membantu menstabilkan ekonomi pada suku keempat, tetapi memerlukan rangsangan dasar yang lebih besar dan berterusan untuk menyokong pemulihan ekonomi,” katanya. – AFP