BANGKOK, 16 DIS – Ekonomi China mencatatkan prestasi lembap pada November, menurut kemas kini bulanan kerajaan hari ini, dengan jualan runcit menjadi perlahan ketika pengguna menangguh perbelanjaan untuk barangan bukan keperluan seperti kosmetik, alkohol dan pakaian.
Pegawai berkata ekonomi secara amnya stabil dengan tanda-tanda positif termasuk sedikit peningkatan dan pemulihan dalam sektor hartanah.
“Bagaimanapun, kami juga mesti melihat bahawa persekitaran luaran adalah lebih rumit, permintaan dalam negeri tidak mencukupi, sesetengah perusahaan menghadapi kesukaran dalam pengeluaran dan operasi, dan asas untuk pemulihan ekonomi yang berterusan masih perlu digabungkan,” beritahu Fu Linghui, jurucakap Biro Perangkaan Kebangsaan kepada pemberita.
Laporan itu keluar beberapa hari selepas pemimpin tertinggi menamatkan mesyuarat perancangan tahunan yang gagal menghasilkan inisiatif dasar baharu ketika Beijing bersiap sedia untuk kemungkinan kenaikan tarif sebaik sahaja Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memegang jawatan.
Jualan runcit meningkat 3 peratus berbanding tahun sebelumnya, turun daripada peningkatan 4.8 peratus pada Oktober dan daripada kadar tahunan 3.5 peratus pada Januari-November.
Keluaran kilang meningkat 5.4 peratus, hampir tidak berubah berbanding bulan sebelumnya, manakala pelaburan dalam aset tetap mencatat kemerosotan.
Secara keseluruhan, harga hartanah jatuh dan jualan rumah juga merosot di kebanyakan bandar, kata laporan itu, ketika China mengalami kemerosotan dalam pasaran hartanahnya selepas pengawal selia bertindak tegas terhadap peminjaman berlebihan oleh pemaju yang menjerumuskan seluruh industri dalam krisis.
Gangguan kepada pekerjaan dan perniagaan semasa pandemik COVID-19 telah menjejas terus ekonomi kedua terbesar di dunia itu.
Pemimpin China berjanji untuk mengambil pendekatan lebih proaktif dalam meningkatkan ekonomi selepas mesyuarat perancangan pada minggu lalu, tetapi tidak memberikan butiran mengenai langkah rangsangan.
Fu memberitahu pemberita kerajaan menjangkakan ekonomi akan mencapai sasaran pertumbuhan tahunan kira-kira 5 peratus tahun ini. – AFP