Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ekonomi China merudum, Australia berdepan risiko kewangan

    SYDNEY, 19 OGOS – Australia hari ini memberi amaran bahawa kelembapan ekonomi China dan penurunan harga bijih besi boleh menyebabkan defisit berbilion dolar dalam belanjawan negara itu.

    Masalah dalam sektor pembinaan China, yang merupakan antara yang terbesar di dunia, telah menyebabkan harga bijih besi merosot sekitar 30 peratus sejak awal tahun ini. Kesan penurunan itu kini dirasai di Australia, negara pengeluar terbesar bijih besi dunia.

    Bendahari Australia, Jim Chalmers, berkata kelembapan ekonomi China dan kejatuhan harga bijih besi mengingatkan bahawa Australia tidak terkecuali daripada ketidaktentuan dan ketidakstabilan ekonomi global.

    Menurut Jabatan Bendahari, penurunan harga yang lebih cepat daripada jangkaan ini dijangka mengurangkan hasil cukai sekitar AS$2 bilion dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

    Bijih besi menyumbang 18 peratus daripada jumlah eksport Australia pada tahun lalu.

    Perdagangan bijih besi dengan China, yang berkembang pesat sejak beberapa dekad lalu, telah meningkatkan keuntungan sektor perlombongan Australia dan pendapatan cukai negara.

    Bagaimanapun, kebimbangan terhadap sektor hartanah China yang semakin merosot serta kapasiti pengeluaran yang berlebihan telah menyebabkan harga bijih besi jatuh lebih tujuh peratus dalam minggu lalu sahaja.

    China turut mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah daripada jangkaan pada suku kedua tahun ini. – AFP

    Jim (kiri), berjabat tangan dengan Canselor Perbendaharaan Britain, Jeremy Hunt, selepas pertemuan Menteri Kewangan Five Eyes di Jabatan Perbendaharaan, Washington, DC pada 18 April. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda