Ekonomi domestik meningkat

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Pertumbuhan ekonomi global dijangka akan menurun kepada 3.3 peratus bagi tahun 2019, sementara ekonomi domestik telah meningkat 0.1 peratus tahun ke tahun pada keseluruhan tahun 2018.

Menurut kenyataan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dalam Kenyataan Dasar AMBD bagi separuh tahun pertama 2019 yang dikeluarkan hari ini, AMBD meramalkan kadar inflasi domestik dalam lingkungan -0.5 peratus ke 0.5 peratus bagi tahun 2019.

AMBD juga memaklumkan bahawa institusi-institusi kewangan yang berlesen di negara ini terus mengekalkan asas-asas yang kukuh didorong oleh tahap modal yang tinggi, kecairan yang tinggi dan pulangan keuntungan yang bertambah baik.

AMBD telah mengeluarkan beberapa notis dan satu garispandu kepada semua bank-bank untuk implementasi rangka kerja Basel II dan Basel Core Principles yang efektif serta satu notis mengenai platform bagi pembiayaan secara peer to peer (P2P) dengan tujuan untuk menjelaskan peraturan-peraturan bagi operasi platform pembiayaan secara P2P di negara ini.

Selain itu, dalam usaha untuk mempertingkatkan lagi tahap perlindungan para pelabur, AMBD juga telah mengeluarkan satu kertas konsultasi kepada pihak-pihak yang berkenaan untuk mendapatkan maklum balas mengenai cadangan rangka kerja perundangan dan peraturan-peraturan berhubung dengan investor compensation scheme.

Dalam usaha untuk memperkukuhkan tadbir urus dan pengurusan risiko syarikat insurans dan pengendali takaful di negara ini pula, AMBD telah mengeluarkan garispanduan mengenai rangka kerja pengurusan risiko dan kawalan dalaman yang efektif serta garispanduan bagi pengurusan risiko yang kukuh dalam mengenalpasti dan mengurangkan pendedahan syarikat insurans dan takaful kepada risiko penipuan.

AMBD telah mengambil langkah untuk memulakan projek rangka kerja modal yang berasaskan risiko (risk-based capital framework) untuk meningkatkan lagi perlindungan kepada pemegang-pemegang polisi insurans atau takaful yang dijangka akan selesai pada tahun 2020.

Untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan pertukaran wang, AMBD telah memberikan lesen untuk menjalankan perniagaan menukar wang kepada tiga pemohon pada tahun ini, yang mana salah satunya akan membuka perniagaan menukar wang yang pertama di Daerah Temburong.

AMBD juga telah melancarkan Digital Payment Roadmap for Brunei Darussalam 2019-2025, yang menggariskan strategi-strategi AMBD dalam menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Digital Payment Nation menjelang tahun 2025. Objektif utama Roadmap ini adalah untuk memacu transformasi digital dengan penciptaan ekosistem pembayaran yang selamat, kukuh, dan mampan sebagai asas bagi pembangunan ekonomi digital.

Kenyataan Dasar AMBD 1/2019 yang lengkap boleh didapati di laman web AMBD di www.ambd.gov.bn. Bagi maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, orang ramai bolehlah menghubungi AMBD melalui talian 2388388, atau emel info@ambd.gov.bn.