Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), pertumbuhan ekonomi global diunjurkan kekal pada kadar 3.2 peratus pada 2024 dan 2025.
Sementara itu, ekonomi domestik telah meningkat sebanyak 6.4 peratus pada separuh pertama 2024, didorong oleh sektor minyak dan gas dan sektor bukan minyak dan gas, masing-masing meningkat sebanyak 8.3 peratus dan 4.8 peratus.
Perangkaan itu dikongsi oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dalam kenyataan dasar BDCB yang kedua bagi 2024 yang telah dikeluarkan di sini.
BDCB dalam kenyataan tersebut menyatakan memandang ke hadapan, momentum pertumbuhan ekonomi domestik dijangka akan berterusan sepanjang 2024, didukung oleh perkembangan positif dalam sektor-sektor minyak dan gas dan bukan minyak dan gas serta projek-projek pelaburan langsung asing (FDI).
Walau bagaimanapun, masih terdapat risiko penurunan yang berkemungkinan berpunca daripada penurunan harga komoditi dan permintaan yang lebih lemah daripada rakan dagangan utama.
Trend disinflasi global telah menyumbang kepada deflasi domestik bagi sebahagian besar 2024.
Faktor-faktor lain yang mempengaruhi trend berkenaan termasuk subsidi, kawalan harga dan dasar monetari negara.
Inflasi yang diimport adalah terkawal disebabkan oleh kesamarataan nilai dolar Brunei dengan dolar Singapura, yang didukung oleh keputusan Monetary Authority of Singapore untuk mengekalkan dasar monetarinya pada Oktober 2024.
Mengambil kira faktor berkenaan serta data Indeks Harga Pengguna terkini, BDCB telah menyemak semula unjuran inflasi Negara Brunei Darussalam bagi 2024 ke lingkungan -0.7 peratus hingga 0.3 peratus.
Pada suku ketiga 2024, sektor kewangan Negara Brunei Darussalam merekodkan peningkatan sebanyak 4.1 peratus dengan nilai aset keseluruhan sebanyak $24.3 bilion di mana $14.3 bilion atau 58.7 peratus merupakan aset kewangan Islam.
Institusi-institusi penerima deposit pula menyumbang 91.5 peratus kepada jumlah keseluruhan aset sektor kewangan dengan nilai aset berjumlah $22.2 bilion.
Kedudukan modal industri perbankan kekal berdaya tahan dan stabil dengan agregat nisbah kecukupan modal sebanyak 21.7 peratus pada suku ketiga 2024.
Selain itu, terdapat sedikit penurunan dalam pulangan keuntungan industri perbankan pada suku yang sama.
Selaras dengan komitmen BDCB dalam memupuk ekonomi digital yang dinamik dan menyokong pertumbuhan ekonomi digital, BDCB telah membuat pindaan terhadap kriteria pelesenan bagi perniagaan pengiriman wang.
Selain itu, dalam usaha pembangunan pasaran modal, BDCB juga mengeluarkan Brunei Darussalam Investment Data Supply-Side Survey Reporting Guideline kepada pengantara pasaran modal berlesen di Negara Brunei Darussalam.
Kenyataan Dasar BDCB 2/2024 yang lengkap boleh didapati di laman sesawang BDCB, www.bdcb.gov.bn.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, boleh menghubungi BDCB di talian, 8318388 atau melalui e-mel, info@bdcb.gov.bn.