WASHINGTON, 16 SEPT – Bank Dunia semalam memberi amaran ancaman kemelesetan ekonomi global semakin meningkat ketika bank-bank pusat menumpukan usaha menurunkan kadar inflasi.
Sehubungan itu, institusi perkhidmatan kewangan antarabangsa itu menggesa negara-negara supaya meningkatkan bekalan bagi mengurangkan kekangan di sebalik kenaikan harga.
Kadar inflasi di seluruh dunia telahmeningkat pada kadar terpantas yang dilihat dalam beberapa dekad berikutan kekangan bekalan akibat permintaan tinggi dari negara yang pulih selepas pandemik COVID.
Situasi bertambah buruk pada tahun ini dengan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan perintah berkurung di China.
Susulan itu, bank pusat utama terpaksa bertindak balas dengan meningkatkan kadar pinjaman untuk menenangkan permintaan dan meredakan inflasi yang ‘panas’.

Bagaimanapun berdasarkan teori, pakar ekonomi Bank Dunia sebaliknya memberi amaran tindakan sedemikian tidak memadai untuk mengawal harga tinggi dengan menaikkan kadar faedah, ia cuma akan membantutkan pertumbuhan.
Kebanyakan negara tidak dapat mengelak kemelesetan, tetapi dasar kelembapan global dan dasar monetari yang ketat boleh mencetuskan tekanan kewangan ketara termasuk kemelesetan global pada 2023.
Dengan senario sedemikian, pertumbuhan Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) akan menjadi perlahan sehingga 0.5 peratus pada 2023 dan penguncupan 0.4 peratus pertumbuhan per kapita, memenuhi definisi teknikal kemelesetan global.
Presiden Bank Dunia, David Malpass, berkata pertumbuhan global menjadi perlahan secara ketara dengan kemungkinan akan lebih perlahan apabila lebih banyak negara mengalami kemelesetan.
“Kebimbangan utama saya adalah trend sedemikian akan berterusan, dengan kesan berpanjangan yang menjejaskan orang ramai dalam pasaran baru muncul dan ekonomi membangun,” katanya dalam satu kenyataan. – AFP