WASHINGTON, 7 APRIL – Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kelmarin berkata ekonomi dunia dijangka berkembang kurang daripada 3 peratus tahun ini, turun daripada 3.4 peratus tahun lepas, justeru menambah risiko kebuluran dan kemiskinan di seluruh dunia.
Kristalina Georgieva berkata tempoh aktiviti ekonomi yang lebih perlahan akan berlarutan, dengan pertumbuhan lima tahun akan datang kekal pada 3 peratus, menggelarnya sebagai ramalan pertumbuhan jangka sederhana terendah sejak 1990, dan jauh di bawah purata 3.8 peratus berbanding dua dekad lalu.
Georgieva berkata pertumbuhan yang lebih perlahan akan membawa impak yang teruk, menjadikannya lebih sukar bagi negara berpendapatan rendah untuk mengejarnya.
“Kemiskinan dan kelaparan mungkin meningkat seterusnya, satu trend berbahaya yang dicetuskan oleh krisis COVID,” katanya.
Komen Georgieva pada acara Politico di Pusat Antarabangsa Meridian keluar menjelang mesyuarat musim bunga IMF dan agensi pinjaman, Bank Dunia, minggu depan, di Washington, di mana penggubal dasar akan bersidang untuk membincangkan isu paling terdesak ekonomi global. – AP


