Saturday, July 12, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ekonomi Indonesia dijangka berkembang 5.5%

    JAKARTA, 24 NOV – Indonesia diramal mencatatkan pertumbuhan ekonomi 4.7-5.5 peratus pada 2022 didorong oleh pemulihan berterusan ekonomi global yang merangsang prestasi eksport.

    Gabenor Bank Indonesia (BI) Perry Warjiyo berkata unjuran itu turut disokong oleh peningkatan dalam permintaan domestik, pelaburan, vaksinasi, pembukaan sektor ekonomi dan pakej rangsangan.

    Beliau berkata demikian dalam pertemuan tahunan BI secara hibrid yang turut dihadiri Presiden Joko Widodo (Jokowi), di sini hari ini.

    Pertumbuhan pada 2021 pula dijangka pada 3.2-4.0 peratus, tidak lagi pada 3.5-4.3 peratus seperti yang disasarkan sebelum ini.

    Negara ekonomi terbesar di ASEAN itu mencatatkan pertumbuhan 3.51 peratus pada suku ketiga, namun masih di kadar yang perlahan berbanding suku sebelumnya.

    Jokowi dalam ucapannya menggesa pemerkasaan ekonomi digital dipertingkatkan dan pelaburan ekonomi hijau direalisasikan segera untuk mengurangkan pelepasan karbon.

    Indonesia yang merupakan tuan rumah G20 di Bali tahun depan akan membina Taman Perindustrian Hijau di Kalimantan Utara di kawasan seluas 30,000 hektar mulai bulan depan, katanya.

    Bagi menarik pelaburan dan membangunkan sektor hiliran, Jokowi tidak menolak kemungkinan untuk menghentikan eksport bauksit pada tahun depan, bijih tembaga pada 2023 dan bijih timah pada 2024.

    Berikutan keputusan untuk melarang eksport nikel berkuat kuasa 1 Januari 2020, Kesatuan Eropah telah memfailkan saman melalui Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) terhadap Indonesia.

    Mengulas perkara itu, Jokowi berkata kerajaannya ‘tidak ingin mengganggu kegiatan pengeluaran mereka’, sambil menambah, pelabur perlu datang ke Indonesia membawa teknologi jika mahukan nikel.

    Nikel merupakan komponen utama untuk menghasilkan sumber tenaga bagi kenderaan elektrik. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda