JAKARTA, 7 OGOS – Pertumbuhan ekonomi Indonesia meningkat lebih pesat berbanding jangkaan pada suku kedua tahun ini, menurut data rasmi yang dikeluarkan hari ini, mencatatkan kadar pertumbuhan paling kukuh dalam tiga suku meskipun eksport mengalami kesukaran.
Ekonomi terbesar Asia Tenggara itu meningkat 5.17 peratus dari tahun ke tahun antara bulan April dan Jun, menurut Statistik Indonesia, mengatasi jangkaan penganalisis.
Pertumbuhan berterusan itu didorong oleh perbelanjaan isi rumah, pelaburan asing dan domestik serta peningkatan perbelanjaan kerajaan, beritahu pegawai Statistik Indonesia, Edy Mahmud kepada pemberita.
“Sepanjang suku kedua 2023, prestasi ekonomi Indonesia disokong oleh peningkatan mobiliti rakyat dan cuti keagamaan yang memacu penggunaan isi rumah dan aktiviti pengeluaran,” kata Mahmud.
Beliau menekankan ketahanan ekonomi Indonesia yang berjaya keluar daripada kesan pandemik COVID walaupun eksport menguncup buat kali pertama sejak suku terakhir 2020, sebahagiannya disebabkan oleh penurunan harga minyak sawit.
Kadar eksport jatuh 2.75 peratus berbanding suku yang sama tahun lalu.
Indonesia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus tahun lalu, ia adalah kadar tertinggi selama sembilan tahun, berikutan kenaikan harga eksport dan pelonggaran sekatan perjalanan. – AFP