TOKYO, 17 MEI – Ekonomi Jepun berkembang lebih pantas daripada jangkaan pada suku pertama, menurut data rasmi hari ini, dibantu oleh pemulihan dalam jumlah kemasukan pelancong selepas sekatan sempadan wabak ditarik balik.
Kenaikan 0.4 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mengatasi jangkaan pasaran sebanyak 0.2 peratus, selepas harapan pemulihan terhenti pada suku akhir tahun lalu.
Perbelanjaan oleh pelawat ke Jepun ‘pulih dengan pantas’ dalam tempoh tiga bulan hingga Mac, Ryutaro Kono, ketua ekonomi di BNP Paribas, berkata menjelang pengumuman data KDNK.
“Perbelanjaan isi rumah domestik juga nampaknya telah pulih pada kadar yang pantas,” tambahnya.
Ekonomi ketiga terbesar di dunia itu membuka semula sepenuhnya sempadannya kepada pelancong asing pada Oktober lalu setelah dua setengah tahun sekatan COVID yang melumpuhkan ekonomi.
Jepun menerima hampir lima juta pelawat pada suku pertama 2023 masih kurang daripada lapan juta dalam tempoh yang sama pada 2019, tahun yang memecahkan rekod untuk kemasukan pelancong ke negara itu. – AFP