TOKYO, 16 MEI – Ekonomi Jepun mengalami penyusutan suku tahunan pertama dalam tempoh setahun pada Januari-Mac, menurut data awal hari ini dan penganalisis memberi amaran tarif yang dikenakan oleh Donald Trump boleh mendorong negara itu mencatat kemelesetan jika tiada perjanjian dicapai.
Penyusutan sebanyak 0.2 peratus berbanding suku sebelumnya adalah lebih teruk daripada jangkaan dan perkara ini dijangka memberi kesan kepada Perdana Menteri Shigeru Ishiba menjelang pilihan raya parlimen pada Julai, ketika pengundi sudah pun marah dengan inflasi dan isu rasuah dalam parti pemerintah.
Pemerhati berkata angka tersebut dibandingkan dengan pertumbuhan 0.6 peratus dalam tiga bulan terakhir 2024 juga akan mendorong Bank Jepun menangguhkan rancangan untuk menyambung semula program pengetatan monetarinya.
Kali terakhir ekonomi keempat terbesar dunia itu mengalami penyusutan adalah pada Januari-Mac 2024 pada kadar sebanyak 0.4 peratus.
Secara tahunan, ekonomi menyusut sebanyak 0.7 peratus pada suku pertama 2025.

Sebelum data diumumkan, pakar menjangkakan Jepun bakal berdepan cabaran apabila perang perdagangan Presiden Amerika Syarikat mencetuskan ketidaktentuan global, dan sementara Tokyo sedang berunding dengan Rumah Putih untuk mengurangkan kesan sepenuhnya, banyak lagi isu berbangkit yang masih timbul.
“Ketidaktentuan meningkat dengan ketara akibat tarif Trump dan kemungkinan besar trend kelembapan ekonomi akan lebih ketara mulai suku kedua,” kata Ketua Ekonomi BNP Paribas, Ryutaro Kono.
Kempen Trump untuk membetulkan ketidakseimbangan perdagangan tidak adil termasuk tarif ke atas rakan dagang dan import termasuk keluli dan kenderaan.
Namun, masalah ekonomi Jepun adalah lebih daripada isu tarif sahaja.
Dengan permintaan domestik dan asing yang lemah, ekonomi ‘masih tidak mempunyai daya penggerak,’ kata Yoshiki Shinke dari Institut Penyelidikan Dai-ichi Life.
“Kemungkinan ekonomi mengalami kemelesetan tidak boleh diketepikan, bergantung kepada sejauh mana tekanan yang dicetuskan oleh isu tarif,” katanya sebelum data tersebut dikeluarkan. – AFP

