PHNOM PENH, 19 MEI – Kanak-kanak daripada isi rumah berpendapatan rendah di Laos terus berdepan halangan untuk mendapatkan pendidikan asas.
Data terkini Bank Dunia mendedahkan bahawa setakat Januari 2025, sebanyak 11.4 peratus kanak-kanak daripada latar belakang kurang bernasib baik tidak bersekolah.
Angka itu adalah lebih dua kali ganda daripada kadar 4.5 peratus yang dicatatkan dalam kalangan rakan sebaya mereka daripada keluarga berada.
Laos, satu daripada lima negara sosialis di dunia, terus berdepan cabaran sosioekonomi termasuk peningkatan inflasi, susut nilai mata wang, kemiskinan dan pasaran buruh yang lemah.
Kadar inflasi di negara dikelilingi daratan itu mencecah sekitar 11 peratus setakat Mac manakala pendapatan per kapita adalah kira-kira RM37,500 (AS$8,700).
Walaupun akses kepada pendidikan asas telah bertambah baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, persekolahan masih menjadi impian yang sukar dicapai bagi golongan kurang berkemampuan.
Keluarga terus menghadapi kesukaran untuk mendaftarkan anak mereka ke sekolah berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat dan pendapatan yang terhad. – Bernama
