Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ekonomi Malaysia terus berkembang

    KUALA LUMPUR, 4 Jan – Ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang tahun ini didorong oleh asas ekonomi yang kukuh, kata Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group Holdings Bhd, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

    Zafrul berkata walaupun pilihan raya umum akan berlangsung tahun ini, industri itu dijangka menerima impak yang minimum, dan ringgit di unjur mengukuh berbanding dolar AS tahun ini.

    “Tidak ada impak ke atas kumpulan, namun dari segi ekonomi, ia mungkin bergantung kepada keputusan pilihan raya.

    “Bagaimanapun, kami menjangkakan peningkatan positif dari segi aliran masuk dana yang akan diterjemahkan kepada pengukuhan ringgit,” katanya pada taklimat media mengenai Hari Korporat CIMB ke-10 di sini hari ini.

    Beliau berkata ringgit dijangkakan mengukuh kepada 4.05 berbanding dolar US pada 2018 berbanding 4.30 pada 2017.

    Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dijangka diadakan selepas Tahun Baru Cina memandangkan Parlimen ke-13 Malaysia akan dibubarkan secara automatik pada 24 Jun tahun ini.

    Zafrul juga berkata sektor komoditi, elektrik dan elektronik serta perkilangan akan terus menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

    “KDNK dijangkakan berkembang pada kadar 5.2 peratus, dan beberapa industri utama akan memainkan peranan yang lebih besar dalam ekonomi tempatan tahun ini,” katanya.

    Industri utama yang dijangkakan cergas tahun ini termasuklah e-dagang, perbankan dan insurans serta infrastruktur, katanya.

    Zafrul berkata pasaran bon Malaysia diunjur terus berdaya tahan, dan ekonomi serantau akan terus berkembang tahun ini.

    “CIMB kini meneroka pasaran baru dan melaksanakan transformasi yang akan membawa kami untuk merealisasikan pelan T18 dengan positif,” katanya. Beliau berkata CIMB berada pada kedudukan yang baik untuk melancarkan platform perbankan digitalnya di Vietnam bulan ini, pertama di negara berkenaan, manakala bagi Filipina, kumpulan perbankan terkemuka ASEAN itu dijangka dilaksanakan pada suku keempat tahun ini.

    Menerusi pembukaan cawangan CIMB di Filipina, ia akan melengkapkan kehadiran ke-10 institusi itu di ASEAN, katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda