Oleh Sim Y.H. –
Negara Brunei Darussalam yang mencapai usia kemerdekaannya ke-41 tahun telah meraikan Sambutan Hari Kebangsaan pada tanggal 23 Februari, yang mengetengahkan tema, Bersatu Mencapai Cita Negara, di mana ia menyeru seluruh rakyat untuk bersatu hati dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035 melalui pembangunan mampan dan keharmonian sosial.
Wawasan Negara 2035 merupakan gagasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang dimanifestasikan bagi memastikan supaya Negara Brunei Darussalam menjadi sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya, mempunyai kehidupan yang berkualiti serta ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.
Dengan jangka masa kira-kira 10 tahun lagi untuk mencapai Wawasan 2035, Negara Brunei Darussalam yang telah mencapai lebih 40 tahun kemerdekaan melalui pelbagai perubahan landskap infrastruktur mengikut peredaran masa tetapi juga mencapai pembangunan fizikal, ekonomi dan teknologi yang selari dengan rakan-rakan serantau.
Negara juga terus mengekalkan keunikan budaya dan pendiriannya sendiri dalam mencapai hasrat sebuah negara maju yang terus relevan di persada serantau dan antarabangsa menerusi transformasi ekonomi yang menjurus kepada usaha mempelbagaikan ekonomi daripada cuma bergantung kepada industri minyak dan gas.
USAHA UNTUK MEMPELBAGAIKAN EKONOMI
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Negara Brunei Darussalam telah mengorak langkah yang signifikan dalam mempelbagaikan ekonominya di mana pada 2023, sektor bukan minyak dan gas telah menyumbang lebih 50 peratus kepada KDNK, mencerminkan perkembangan berterusan dalam usaha mempelbagaikan ekonomi negara.
Pencapaian itu mencerminkan komitmen negara untuk mengeksport lebih banyak daripada sektor bukan minyak dan gas termasuk petrokimia, pemprosesan makanan, pembuatan serta memupuk ekosistem perniagaan yang lebih dinamik.
Bagi 2025, kerajaan telah menggariskan pemacu-pemacu ekonomi utama termasuk kepelbagaian di luar minyak dan gas dengan pihak kerajaan menggandakan usaha untuk terus memupuk industri dalam sektor-sektor keutamaan seperti hiliran minyak dan gas, pengeluaran makanan, perkhidmatan, ICT dan pelancongan.
Usaha-usaha itu antara yang diketengahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa Brunei Economic Outlook Rountable 2024 yang diadakan baru-baru ini.
Pada masa yang sama, negara juga komited kepada memupuk sektor swasta yang mantap dengan mengukuhkan dan menjana persekitaran perniagaan yang menyokong menerusi peraturan yang diperkemas dan sokongan disasarkan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Selain itu, meningkatkan akses kepada pasaran asing dengan meningkatkan dan mengemaskinikan perjanjian perdagangan negara seperti RCEP dan CPTPP yang akan membantu untuk memudahkan akses pasaran serta menarik pelaburan.
Kerajaan Brunei juga terus melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 dengan matlamat untuk memodenkan ekonomi dan meningkatkan keupayaan digital negara.
Tidak kurang pentingnya ialah pembangunan mampan di mana adalah amat mustahak bagi kita untuk mengimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab alam sekitar dengan Negara Brunei Darussalam terus berdedikasi kepada amalan-amalan mampan seperti yang digariskan dalam dasar-dasar iklim kebangsaan.
Kolaborasi dalam kalangan semua pihak yang berkepentingan adalah amat mustahak bagi mencapai matlamat-matlamat berkenaan serta untuk memastikan kestabilan makroekonomi.
MEMACU PERTUMBUHAN EKONOMI YANG LEBIH TINGGI
Dalam memacu ke arah mencapai matlamat kepelbagaian ekonomi serta pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi, ia memerlukan kerjasama sepadu dan erat antara sektor awam dengan sektor swasta melalui pendekatan seluruh negara.
Ke arah itu, pihak kerajaan terus menggalakkan sektor swasta untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti mereka dalam bidang masing-masing supaya dapat meningkatkan ekonomi negara untuk menjadi lebih kompetitif dengan tumpuan bukan sahaja kepada pasaran domestik tetapi juga pasaran serantau dan global.
Dalam hubungan itu, adalah amat penting untuk menggalakkan syarikat-syarikat perniagaan kita untuk melihat bagaimana mereka boleh mengguna pakai atau memanfaatkan teknologi baharu dan amalan perniagaan terbaik supaya mereka dapat menjadi lebih kompetitif dan memperkenalkan idea-idea atau produk-produk baru kepada pasaran tempatan.
Pada masa yang sama, syarikat-syarikat perniagaan dan perusahaan tempatan harus melihat kepada pasaran eksport bagi merebut pelbagai peluang di luar negara.
Menerusi penerokaan ke pasaran luar, bukan sahaja syarikat dan perusahaan Brunei dapat mengembangkan lagi perniagaan mereka tetapi ia memberikan rangsangan kepada pertumbuhan ekonomi negara menerusi kesan limpahan dan peningkatan aktiviti-aktiviti perekonomian tempatan.
Di samping itu, adalah amat penting bagi ekosistem syarikat pemula Brunei untuk mengembangkan ufuknya dan menyelaraskannya dengan trend global dalam membentuk landskap keusahawanan.
Trend berkenaan bukan sahaja menyediakan peluang bagi inovasi tetapi juga menyediakan pentas bagi pertumbuhan transformatif dan mampan.
Salah satu trend yang menonjol ialah kecerdasan buatan (AI) dan automasi yang merubah seluruh industri dengan meningkatkan kecekapan, memperbaiki penglibatan pelanggan dan membolehkan pembuatan keputusan yang bijak.
Selain itu, tidak kurang pentingnya ialah penekanan kepada kemampanan di mana perniagaan dan perusahaan di seluruh dunia tampil ke hadapan untuk menangani cabaran-cabaran alam sekitar.
Dalam hubungan itu, syarikat-syarikat yang membangunkan teknologi hijau akan berada di kedudukan yang baik untuk maju dalam pasaran yang berkembang itu.
BERSATU MENCAPAI CITA NEGARA
Bagi mencapai cita negara khususnya membangunkan ekonomi negara yang berdaya tahan, mampan dan gemilang, ia memerlukan segenap lapisan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam untuk sama-sama mendukung, menyokong dan memanfaatkan usaha untuk membangunkan ekonomi negara bagi memastikan ia membawa kepada kemakmuran, keamanan dan pembangunan negara yang mampan.