SINGAPURA, 1 JAN – Ekonomi Singapura berjaya mengelak kemelesetan dan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.2 peratus pada 2023, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong kelmarin, bagaimanapun beliau turut memberi amaran risiko geopolitik akan mempengaruhi pertumbuhan tahun ini.
Prestasi ekonomi negara kota yang mewah itu sering dianggap sebagai barometer persekitaran global disebabkan kebergantungannya kepada perdagangan antarabangsa.
“Kami mencapai pertumbuhan 1.2 peratus tahun ini, mengelak daripada kemerosotan,” kata Lee dalam mesej sempena Tahun Baharu.
Sementara tahun ini, pertumbuhan dijangka meningkat pada kadar 1-3 peratus ‘tetapi banyak yang akan bergantung kepada persekitaran luaran,’ tambahnya sambil merujuk kepada keadaan perang di Ukraine yang berterusan dan konflik Israel dengan Hamas.
Ekonomi Singapura telah terjejas oleh permintaan global yang lebih lemah terhadap eksportnya, walaupun dengan kembalinya perjalanan udara selepas pandemik COVID meningkatkan pertumbuhan domestik.
“Untuk beberapa tahun akan datang, kita mesti menjangkakan persekitaran luaran kurang memihak kepada keselamatan dan kemakmuran kita. Ketidaktentuan geopolitik akan terus menjejaskan ekonomi global,” katanya.
“Di rantau kita sendiri, terdapat ketegangan dan risiko terhadap tuntutan saingan di Laut China Selatan dan kerana situasi rentas Selat. Ini boleh menjejaskan keyakinan di rantau ini dan seterusnya pertumbuhan kita,” tambahnya. – AFP
