BANDAR SERI BEGAWAN, 29 FEB – Ekonomi negara bagi tahun 2023 mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 1.4 peratus berikutan peningkatan yang berterusan dalam sektor bukan minyak dan gas sebanyak 4.5 peratus. Manakala, sektor minyak dan gas mencatatkan penurunan sebanyak 2 peratus.
Menurut laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Suku Tahunan Keempat (Q4) 2023 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, peningkatan sektor bukan minyak dan gas adalah didorong oleh peningkatan subsektor-subsektor seperti pengangkutan udara sebanyak 75.8 peratus diikuti oleh kewangan 37.4 peratus, dan pembinaan 7.5 peratus.
Manakala penurunan bagi sektor minyak dan gas adalah disebabkan oleh penurunan pengeluaran minyak mentah, gas asli, dan gas cecair asli (LNG).
Sementara peningkatan bagi sektor minyak dan gas adalah disebabkan oleh peningkatan pengeluaran minyak mentah, gas asli dan LNG. Peningkatan minyak mentah dan gas asli adalah selaras dengan pengeluaran dari padang minyak dan gas yang baharu. Manakala, peningkatan pengeluaran LNG adalah berikutan bekalan gas yang tinggi.
Sektor bukan minyak dan gas terus menunjukkan perkembangan yang menggalakkan dengan peningkatan subsektor-subsektor seperti pengangkutan udara sebanyak 29.8 peratus, kewangan 13.9 peratus dan pembuatan produk petroleum dan kimia 11.7 peratus.
Kenyataan mengongsikan lanjut, peningkatan subsektor pengangkutan udara adalah selaras dengan peningkatan jumlah penumpang udara dan kekerapan penerbangan. Manakala peningkatan subsektor kewangan adalah selaras dengan peningkatan pendapatan aktiviti perbankan dan insurans. Bagi subsektor pembuatan produk petroleum dan kimia pula, peningkatannya adalah disebabkan oleh pengeluaran produk petrokimia, metanol dan baja urea.
Sumbangan utama KDNK bagi Q4 2023 mengikut aktiviti ekonomi adalah sektor industri yang menyumbang sebanyak 60.8 peratus, diikuti oleh sektor perkhidmatan 38.3 peratus, dan sektor pertanian, perhutanan dan perikanan 0.9 peratus.
Jumlah KDNK, pada harga semasa adalah sebanyak $5.5 bilion pada Q4 2023 berbanding $5.7 bilion pada Q4 2022. Manakala, sektor bukan minyak dan gas, yang mana termasuk aktiviti hiliran seperti pembuatan produk petroleum dan kimia, telah menyumbang sebanyak 53 peratus.
Mengikut pendekatan perbelanjaan, peningkatan pertumbuhan KDNK pada Q4 2023 adalah didorong oleh peningkatan eksport bersih barangan dan perkhidmatan sebanyak 21.9 peratus berikutan penurunan Import barangan dan perkhidmatan. Ini diikuti oleh perbelanjaan penggunaan akhir isi rumah dan perbelanjaan penggunaan akhir Kerajaan masing-masing sebanyak 4.8 peratus dan 2.6 peratus.
Laporan penuh KDNK Q3 2022 boleh didapati di deps.mofe.gov.bn.