BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Ekonomi negara pada tahun 2019 meningkat sebanyak 3.9 peratus yang disumbangkan oleh kenaikan dalam kedua-dua sektor minyak dan gas dan sektor bukan minyak dan gas sebanyak 4.9 peratus dan 2.5 peratus masing-masing.
Peningkatan ini dicapai setelah pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku keempat 2019 (Q4 2019) mencatatkan pertumbuhan yang positif.
Menurut kenyataan yang diterima, KDNK Negara Brunei Darussalam pada Q4 2019 pada harga semasa berjumlah $4.82 bilion berbanding $4.81 bilion pada Q4 2018.
Sektor minyak dan gas yang merangkumi aktiviti perlombongan minyak dan gas dan pembuatan gas cecair asli (LNG) menyumbang sebanyak 52.5 peratus kepada jumlah nilai tambah kasar (GVA) manakala sektor bukan minyak dan gas, yang kini termasuk aktiviti hiliran seperti pembuatan produk petroleum dan kimia, menyumbang 47.5 peratus dengan nilai $2.3 bilion.
Peningkatan dalam sektor minyak dan gas adalah terutamanya disebabkan oleh pengeluaran LNG yang meningkat kepada 1,034,175MMBtu sehari pada Q4 2019 berbanding 924,232 MMBtu sehari pada Q4 2018. Pengeluaran minyak mentah juga meningkat daripada 117.6 ribu tong sehari pada Q4 2018 kepada 130.1 ribu tong sehari pada Q4 2019.
Manakala, pengeluaran gas asli meningkat daripada 33 juta meter padu sehari kepada 36.2 juta meter padu sehari pada tempoh masa yang sama.
Pengeluaran baharu dalam produk petroleum dan kimia daripada aktiviti hiliran pula telah mendorong kepada pertumbuhan sektor bukan minyak dan gas. Ini diikuti oleh peningkatan dalam subsektor pengangkutan sebanyak 15.1 peratus terutamanya dalam aktiviti pengangkutan air dan subsektor pembinaan (13.8 peratus).
Berdasarkan jenis kegiatan ekonomi, peningkatan dalam sektor Industri telah menyumbang kepada pertumbuhan positif tahun-ke-tahun pada Q4 2019.
Manakala, Sektor Perkhidmatan meningkat sebanyak 0.7 peratus,antara lainnya disebabkan oleh peningkatan dalam subsektor seperti pengangkutan, perkhidmatan kerajaan dan perkhidmatan pendidikan.
Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan pula mencatatkan kenaikan sebanyak 1.8 peratus berikutan peningkatan dalam subsektor perikanan terutamanya dalam industri tangkapan secara kecil-kecilan.
Mengikut pendekatan perbelanjaan, pertumbuhan KDNK disumbangkan oleh peningkatan bagi import barang dan perkhidmatan sebanyak 30.6 peratus diikuti oleh eksport barangan dan perkhidmatan sebanyak 28.9 peratus, perbelanjaan penggunaan akhir isi rumah sebanyak 7.5 peratus dan perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan 2.0 peratus.
KDNK adalah ukuran bagi jumlah nilai barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam tempoh tertentu setelah ditolak kos barangan dan perkhidmatan yang digunakan dalam proses pengeluaran.
Laporan penuh KDNK Q4 2019 boleh didapati melalui laman sesawang JPES, www.deps.gov.bn.