Monday, December 23, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ekonomi Sarawak dibuka lepas program vaksinasi

    SIBU, 30 JUN – Kegiatan ekonomi di Sarawak dijangka akan dibuka semula, apabila imuniti kelompok dicapai selepas 80 peratus rakyatnya selesai menerima vaksin COVID-19 pada minggu ketiga Ogos nanti.

    Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dengan tercapainya imuniti kelompok itu ancaman jangkitan COVID-19 akan menjadi kurang, dan orang ramai akan berasa lebih selamat menjalankan aktiviti ekonomi mereka seperti biasa.

    “Penanda aras kita ialah 80 peratus (penduduk divaksin) dan kemungkinan keadaan kembali normal itu ada,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin industri (PPVIN), di Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS) di sini hari ini.

    Bagaimanapun beliau berkata, keadaan kehidupan akan berubah meskipun keadaan kembali normal, kerana rakyat masih perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ada pada masa sekarang, seperti memakai penutup mulut dan hidung serta menjaga kebersihan diri.

    Menurutnya setakat semalam, seramai 149,743 atau 64 peratus penduduk di Bahagian Sibu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, hasil daripada respons positif penduduk di bahagian itu terhadap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

    Sementara itu, Abang Johari berkata, kira-kira 13,000 pekerja industri termasuk dari syarikat perkapalan, industri berasaskan kayu dan perladangan akan diberi suntikan vaksin di PPVIN UCTS di sepanjang program yang bermula Isnin lepas.– Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda