Ekonomi Singapura 2016 meningkat 1.8 peratus

SINGAPURA, 3 Jan – Ekonomi Singapura yang dijana oleh perdagangan tumbuh 1.8 peratus tahun lalu, kepesatan paling perlahan sejak krisis kewangan sejagat dalam tahun 2009, selepas mengelak kemelesetan teknikal dalam suku keempat, data rasmi menunjukkan hari ini.

Para penganalisis memberi amaran pertumbuhan pada tahun 2017 mungkin malah lebih sugul jika fahaman perlindungan menyekat dagangan sejagat dan kenaikan seterusnya kadar faedah di AS memberikan lagi tekanan ke atas ekonomi tempatan.

“Singapura dengan selesa mengelak kemelesetan teknikal dalam suku ke empat tahun 2016, tetapi kami menjangka ekonomi tempatan akan terus perlahan,” kata Weiwen Ng, ahli ekonomi Asia Tenggara di kumpulan perbankan ANZ.

“Prospek dasar perdagangan yang lebih berfahaman perlindungan membawa penjejasan kepada ekonomi Singapura yang masih menyakini model eksport lama yang membawa kepada pertumbuhan,” Ng berkata dalam satu nota.

Timbul kebimbangan di kalangan ekonomi-ekonomi Asia yang dijana eksport tentang meningkatkan fahaman perlindungan di Barat, yang mana perjanjian globalisasi dan perdagangan bebas telah dipersalahkan kerana mengakibatkan penghantaran pekerjaan ke luar negara dan membuka benteng kepada para penghijrah.

Gambar fail menunjukkan bangunan pencakar langit di daerah kewangan, Singapura. Ekonomi Singapura yang dijana oleh perdagangan tumbuh 1.8 peratus tahun lalu. – AFP
Gambar fail menunjukkan bangunan pencakar langit di daerah kewangan, Singapura. Ekonomi Singapura yang dijana oleh perdagangan tumbuh 1.8 peratus tahun lalu. – AFP

Donald Trump yang akan mengangkat sumpah sebagai presiden AS pada 20 Januari berikrar akan membatalkan Perkongsian Rentas-Pasifik (TPP), perjanjian perdagangan besar yang dirundingkan oleh Barack Obama, Presiden AS yang akan meninggalkan jawatannya.

Singapura adalah anggota utama TPP yang melibatkan 12 buah negara yang mengandungi syarat pembukaan pasaran yang melewati pengurangan tarif.

Kementerian perdagangan Singapura berkata hari ini ekonomi negara kota itu berkembang 9.1 peratus dari suku sebelumnya dalam tempoh tiga bulan hingga Disember, mengundurkan pengecutan 1.9 peratus suku sebelumnya.

Kemelesetan teknikal merujuk kepada dua suku berturut-turut dari pengecutan suku sebelumnya.

Pertumbuhan tahun lalu adalah di bawah perluasan 2.0 pada tahun 2015.

“Gambaran luas ialah pertumbuhan Singapura dijangka terus lemah dalam tempoh beberapa tahun akan datang berlatarbelakangkan keadaan kewangan tempatan yang ketat,” menurut ahli ekonomi serantau Capital Economics, Krystal Tan. – AFP