Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ekonomi Singapura perlahan pada suku ketiga

    SINGAPURA, 14 OKT – Ekonomi Singapura berkembang sebanyak 2.9 peratus pada suku ketiga tahun ini, menunjukkan penurunan berbanding tiga bulan sebelumnya, menurut data rasmi awal yang dikeluarkan hari ini, ketika tarif Amerika Syarikat (AS) menekan sektor pembuatan utama negara itu.

    Sebagai ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara, Singapura sangat bergantung kepada perdagangan antarabangsa dan mudah terjejas oleh sebarang kelembapan global akibat tarif tersebut, meskipun hanya berdepan kadar levi asas sebanyak 10 peratus yang dikenakan oleh Presiden AS, Donald Trump.

    Walaupun pertumbuhan tersebut mengatasi jangkaan penganalisis ekonomi, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh Julai hingga September merupakan yang paling perlahan tahun ini, menurut data Kementerian Perdagangan.

    KDNK mencatat pertumbuhan 4.1 peratus pada suku pertama dan 4.5 peratus pada suku kedua.

    Sektor pembuatan yang dipacu oleh eksport mencatat prestasi mendatar berbanding tahun sebelumnya pada suku ketiga, berbanding pertumbuhan 5.0 peratus pada suku kedua, menurut kementerian berkenaan.

    “Pertumbuhan terjejas akibat penurunan pengeluaran dalam kelompok pembuatan bioperubatan dan pembuatan am,” jelas kenyataan itu.

    Angka awal KDNK tersebut berdasarkan prestasi ekonomi dalam dua bulan pertama suku berkenaan dan tertakluk kepada semakan semula.

    Data itu mencerminkan laporan bulan lalu yang menunjukkan penghantaran keluar ke pasaran eksport utama negara itu semakin lemah. Eksport domestik bukan minyak Singapura menyusut sebanyak 11.3 peratus pada bulan Ogos, meningkat daripada penurunan 4.7 peratus pada Julai.

    Eksport ke AS menjunam hampir 29 peratus pada Ogos, selepas mencatat kejatuhan besar 42.8 peratus pada Julai. Sementara itu, eksport ke China juga merosot 21.5 peratus, lebih besar daripada penurunan 12.3 peratus pada bulan sebelumnya.

    Pada Ogos lalu, Kementerian Perdagangan Singapura menaikkan unjuran pertumbuhan 2025 kepada antara 1.5 hingga 2.5 peratus daripada julat sebelumnya 0 hingga 2.0 peratus, namun memberi amaran bahawa ketidaktentuan global masih berterusan. – AFP

    Para pemancing berjalan di sepanjang pemecah ombak dengan latar belakang Marina Bay Sands dan pemandangan langit bandar yang dapat dilihat dari Marina East di Singapura pada 13 Oktober.  – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda