SINGAPURA, 14 JULAI – Singapura berjaya mengelak daripada mengalami kemelesetan ekonomi suku kedua tahun ini, menurut data rasmi yang dikeluarkan hari ini, namun kerajaan memberi amaran mengenai ‘ketidaktentuan yang ketara’ pada masa hadapan berikutan kesan tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Anggaran awal daripada Kementerian Perdagangan menunjukkan ekonomi republik itu berkembang sebanyak 4.3 peratus tahun ke tahun bagi tempoh tiga bulan hingga Jun, meneruskan pertumbuhan 4.1 peratus yang dicatatkan pada suku pertama.
Dari segi suku ke suku, ekonomi mencatat pertumbuhan 1.4 peratus selepas menguncup 0.5 peratus dalam tiga bulan pertama tahun ini.
Bacaan tersebut bermaksud Singapura berjaya mengelakkan kemelesetan teknikal, yang ditakrifkan sebagai dua suku berturut-turut dengan penyusutan ekonomi.
Sektor pembuatan, yang merupakan tonggak utama ekonomi Singapura, mencatat pertumbuhan tahunan sebanyak 5.5 peratus dalam suku ini, meningkat berbanding 4.4 peratus pada suku sebelumnya, apabila syarikat-syarikat berusaha mempercepat pengeluaran sebelum pelaksanaan tarif AS yang lebih tinggi.
Sektor pembuatan merangkumi eksport utama Singapura seperti semikonduktor.
Walau bagaimanapun, kerajaan memberi peringatan berhati-hati mengenai prestasi ekonomi sepanjang separuh kedua tahun ini.
“Melihat ke hadapan, masih terdapat ketidaktentuan yang ketara dan risiko penurunan dalam ekonomi global pada separuh kedua 2025 berikutan ketidakjelasan dasar tarif AS,” menurut kenyataan kementerian itu.
Walaupun Trump mengenakan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas Singapura, negara itu tetap terdedah kepada kelembapan ekonomi global yang berpunca daripada tarif lebih tinggi yang dikenakan terhadap puluhan negara lain, memandangkan pergantungannya yang besar kepada perdagangan antarabangsa. – AFP


