BANGKOK, 1 OGOS – Ekonomi Thailand mengalami kelembapan pada Jun berasaskan bulan ke bulan berikutan penyusutan eksport barangan dan pengeluaran pembuatan di samping aktiviti berkaitan pelancongan yang perlahan.
Bank of Thailand (BoT) melaporkan eksport susut 4.8 peratus pada Jun berbanding bulan sebelumnya, manakala aktiviti berkaitan pelancongan turut mencatatkan penguncupan sejajar dengan penurunan bilangan pelancong asing dan hasil daripada pelancongan.
“Penggunaan swasta susut dalam kebanyakan kategori disebabkan tekanan berterusan daripada penurunan keyakinan pengguna,” menurut kenyataan bank pusat itu pada Khamis.
Bagaimanapun, BoT menjelaskan perbelanjaan kerajaan meningkat, disokong oleh peningkatan perbelanjaan kerajaan pusat dan pelaburan oleh syarikat milik kerajaan.
Pelaburan swasta juga menunjukkan pertumbuhan, dipacu oleh peningkatan perbelanjaan terhadap jentera dan peralatan, tambahnya.
Dari sudut kestabilan ekonomi, BoT memaklumkan inflasi keseluruhan mencatatkan kadar negatif yang lebih rendah berbanding bulan sebelumnya, terutama berikutan harga makanan segar yang lebih tinggi, khususnya sayur-sayuran.
Bank pusat itu turut menjangkakan ekonomi Thailand terus mengalami tekanan, disebabkan kesan dasar perdagangan global terhadap eksport serta pengeluaran pertanian dan perindustrian, selain jangkaan kelembapan dalam sektor pelancongan domestik. – Bernama


