TUARAN – Pembangunan ekopelancongan atau pelancongan ekologi di kawasan Kiulu yang terletak kira-kira 60 kilometer dari Kota Kinabalu mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, khususnya golongan muda.
Pembangunan ekopelancongan yang turut menawarkan pendidikan alam sekitar di samping kemudahan rekreasi, kian rancak dibangunkan di beberapa kampung di kawasan Kiulu, sekali gus mempertingkatkan lagi taraf ekonomi masyarakat setempat.
Pelbagai kemudahan ekopelancongan yang ada di Kiulu termasuk ‘farmstay’, inap desa dengan pelbagai aktiviti disediakan termasuk pengembaraan luar seperti berbasikal, berkayak, mendaki bukit dan menaiki motosikal empat tayar, mampu memberi banyak manfaat kepada penduduk kawasan itu.
Berron Maratin, 26, berkata pembangunan pelancongan di Kiulu, khususnya di kawasan Ulu Kiulu telah memberi peluang kepada anak-anak muda di kampung itu untuk mendapatkan kerja dalam bidang pelancongan.
Katanya pelbagai peluang pekerjaan telah diwujudkan hasil pembangunan beberapa pusat pelancongan di Ulu Kiulu seperti Kiulu Farmstay yang diusahakan Borneo Eco Tours dengan kerjasama penduduk kampung di situ dan disokong penuh oleh Lembaga Pelancongan Sabah.


“Sebelum ini saya pernah bekerja di sebuah hotel di Kota Kinabalu dan pengalaman itu saya manfaatkan semasa bekerja di sini. Selain itu kami juga berpeluang menghadiri kursus berkaitan dengan ekopelancongan.
“Saya telah bekerja lebih setahun sebagai pemandu pelancong dalaman di ’farmstay’ ini dan rutin saya adalah memberi taklimat mengenai pelbagai aktiviti kepada pelancong dari dalam atau luar negara yang datang ke sini,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Perryneble Peris, 32, juga seorang pemandu pelancong dalaman di Diniwang Agro Eco Tourism di Kampung Mangkaladom pula berkata pembangunan sektor pelancongan di kawasan Kiulu dapat memberi peluang penduduk setempat mendapatkan pekerjaan tanpa berhijrah ke tempat lain.
“Hasil daripada pembangunan pelancongan ini, saya bukan sahaja bekerja sebagai pemandu pelancong dalaman di Diniwang Agro Eco Tourism tetapi saya juga memperoleh pendapatan sampingan apabila dipanggil untuk menjadi pemandu arah dalam aktiviti ‘jungle trekking’ (menyusuri hutan) yang sering dilakukan di beberapa kampung di kawasan Kiulu,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Teknologi Penyelesaian Ekopelancongan Mukim Ulu Kiulu, Sabah (MUKEST) Lodimun Balantis berkata 13 kampung di Ulu Kiulu dapat memanfaatkan peluang untuk menjana pendapatan melalui pembangunan atau bekerja di ekopelancongan yang telah dibangunkan.
“Melalui pembangunan pelancongan di sini, ramai penduduk kampung kini telah mengusahakan inap desa dan kita sering menggalakkan penduduk kampung di sini bergiat aktif dalam aktiviti pertanian yang menjadi produk utama di kawasan ini,” katanya.
Lodimun berkata pembangunan ekopelancongan telah membantu meningkatkan kemudahan infrastruktur bagi memudahkan lawatan pelancong ke kawasan ekopelancongan selain turut memudahkan penduduk tempatan melakukan urusan seharian.
Beliau berkata untuk merancakkan lagi pembangunan ekopelancongan di Ulu Kiulu, pihaknya telah menjemput dua penceramah khas dari Indonesia untuk berkongsi pengalaman dengan penduduk kampung bertempat di Kiulu Farmstay pada 11 dan 12 Mac depan.
“Kita berharap ramai penduduk yang akan hadir untuk sama-sama mendengar ceramah yang akan disampaikan untuk memajukan lagi ekopelancongan di mukim Ulu Kiulu,” tambahnya.
Kiulu merupakan antara kawasan yang diumumkan sebagai perintis projek pembangunan ekopelancongan luar bandar oleh Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman ketika membentangkan Bajet Negeri Sabah 2018 pada tahun lepas. – Bernama