Monday, April 21, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Eksekutif China ditahan berhubung insiden runtuhan bangunan

    BANGKOK, 20 APRIL – Pihak berkuasa Thailand memaklumkan bahawa mereka telah menahan seorang eksekutif syarikat dari China yang terlibat dalam pembinaan sebuah bangunan pencakar langit di Bangkok, yang runtuh akibat gempa bumi besar, mengorbankan puluhan nyawa.

    Menara setinggi 30 tingkat itu ranap menjadi timbunan runtuhan apabila gempa bumi bermagnitud 7.7 melanda Myanmar, negara jiran Thailand, bulan lalu. Insiden tersebut telah meragut 47 nyawa di tapak pembinaan manakala 47 lagi masih dilaporkan hilang.

    Menteri Kehakiman Thailand, Tawee Sodsong, dalam satu sidang media pada Sabtu memaklumkan bahawa mahkamah Thai telah mengeluarkan waran tangkap ke atas empat individu, termasuk tiga warganegara Thailand, yang berkhidmat untuk China Railway No.10 atas kesalahan melanggar Akta Perniagaan Asing.

    Jabatan Siasatan Khas (DSI) di bawah Kementerian Kehakiman dalam satu kenyataan pada hari yang sama mengesahkan bahawa seorang daripada empat individu yang dikehendaki itu telah ditahan — seorang wakil syarikat dari China yang dikenal pasti sebagai Zhang.

    China Railway No.10 merupakan sebahagian daripada usaha sama dengan sebuah firma Itali-Thai dalam pembinaan menara Pejabat Audit Negara sebelum kejadian runtuhan berlaku.

    Zhang disenaraikan sebagai pemegang saham sebanyak 49 peratus dalam syarikat tersebut, manakala tiga lagi warganegara Thailand memegang baki 51 peratus saham.

    Pasukan penyelamat giat mencari mangsa yang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan di Bangkok pada 2 April. – AFP

    Namun begitu, Tawee memberitahu media bahawa “kami mempunyai bukti… ketiga-tiga rakyat Thai ini hanya memegang saham bagi pihak pihak asing yang lain.”

    Mengikut Akta Perniagaan Asing Thailand, warga asing tidak dibenarkan memegang lebih daripada 49 peratus saham dalam mana-mana syarikat tempatan.

    Dalam perkembangan berasingan, Tawee memaklumkan bahawa beberapa siasatan berkaitan insiden runtuhan itu masih berjalan, termasuk siasatan kemungkinan berlaku amalan manipulasi bidaan dan penggunaan tandatangan jurutera palsu dalam kontrak penyeliaan pembinaan.

    Awal bulan ini, pegawai keselamatan Thailand melaporkan bahawa ujian ke atas besi tetulang dari tapak pembinaan mendapati sebahagian daripada logam yang digunakan tidak memenuhi piawaian kualiti.

    Bangunan pencakar langit tersebut merupakan satu-satunya struktur utama di ibu negara yang runtuh dalam gempa bumi dahsyat pada 28 Mac lalu, yang telah meragut lebih 3,700 nyawa di Thailand dan Myanmar. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda