BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), hari ini, telah mengadakan satu Latihan Dalaman Operasi Menyelamat: ‘Eksesais Lapu’ di kawasan Kampong Ayer yang melibatkan simulasi insiden kecemasan kebakaran dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di dalam bangunan sekolah dan di permukaan air.
Menurut kenyataan JBP, simulasi itu melibatkan beberapa senario seperti kebakaran bilik darjah di sekolah, mangsa terperangkap dan terjatuh ke air, serta pemindahan warga sekolah ke tempat selamat.
Pelaksanaan latihan itu telah dirancang rapi bagi memastikan tiada gangguan terhadap keselamatan awam dan semua aktiviti dilakukan dalam kawalan serta pemantauan JBP.
Sementara itu, Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi ‘G’, Awang Syu’aib bin Kifli selaku Pengerusi Bersama Eksesais Lapu semasa temu ramah mengatakan, latihan itu adalah bagi menguji kefahaman, kecekapan komunikasi, peranan serta kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada iaitu kecemasan yang memerlukan tindak balas awal dari balai bomba berdekatan serta bantuan segera dari balai dan unit lain seperti pengerahan Unit Penyelam, Unit SATREA (Special Technical Rescue Assistance Team), Unit Fire Medic, Unit Dron serta bantuan daripada sukarelawan dari Kampung Setia.
Manakala, Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi ‘D’, Awang Mushidee bin Junaidi selaku pengerusi bersama bagi Eksesais itu menyatakan, operasi memadam dan menyelamat itu juga terdapat beberapa cabaran seperti keadaan cuaca dan persekitaran, keadaan air (berombak, pasang surut), orang awam yang panik serta koordinasi dan komunikasi yang memainkan peranan penting.
Eksesais itu juga melibatkan kerjasama daripada Pemangku Ketua Kampung Zon 2 Kampong Ayer, Haji Mayalin bin Haji Saat yang telah melantik sukarelawan bomba seramai empat orang dari Kampung Setia A dan Kampung Saba Darat B yang memainkan peranan dengan memberi respons awal kebakaran dengan menggunakan peralatan memadam kebakaran yang telah dibekalkan oleh JBP.
Antara tujuan latihan itu adalah untuk menguji keberkesanan SOP dalam situasi kecemasan di air; meningkatkan kesiapsiagaan dan kecekapan anggota penyelamat; menguji cuba tahap kesiapsiagaan jentera dan perahu; mempromosikan kesedaran keselamatan awam, terutamanya dalam kawasan perumahan dan sekolah di Kampong Ayer.
Dalam pada itu juga, orang ramai telah dimaklumkan bahawa latihan berkenaan adalah latihan terkawal dan bukan insiden sebenar.
Sebarang kehadiran jentera bomba atau pergerakan anggota penyelamat sepanjang latihan adalah sebahagian daripada simulasi yang dirancang.
JBP juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta penduduk Kampong Ayer atas kerjasama padu yang diberikan dalam menjayakan latihan itu.