Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Menerusi Eksesais Cooperation Afloat Readiness and Training (CARAT), hubungan pertahanan Negara Brunei Darussalam dan Amerika Syarikat (AS) telah berkembang dengan lebih kukuh menerusi pelbagai interaksi, pertukaran pengalaman dan amalan terbaik di mana ia merupakan langkah positif ke arah usaha diplomasi pertahanan di antara kedua-dua buah negara.
Perkara itu antara yang dinyatakan oleh Pemangku Timbalan Pemerintah Angkatan Bersama, Markas Angkatan Bersama, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kolonel (U) Hismawadi bin Haji Mohammad Said yang juga Pengerusi Bersama CARAT 29/2023, dalam ucapan mewakili ABDB pada Majlis Pembukaan Eksesais Dua Hala CARAT 2023, ke-29 antara ABDB dan Tentera Laut Amerika Syarikat (TLAS) dan United States Coast Guard (USCG) di Dewan Konsert Wira Seni, Bangunan Pancaragam, ABDB, Bolkiah Garison, hari
ini.
Sementara itu, Timbalan Komodor, Komander, Destroyer Squadron Seven (CDS 7), Kapten Matt Scarlett selaku Pengerusi Bersama CARAT 29/2023 dalam ucapan mewakili TLAS, menggariskan peranan CARAT yang telah lama wujud dalam menangani kepentingan keselamatan maritim bersama dalam kalangan rakan kongsinya bagi memastikan keselamatan, kestabilan dan kemakmuran serantau.
Kedua-dua pengerusi bersama telah merakamkan penghargaan atas hubungan erat dua hala antara kedua-dua buah negara dan mengharapkan kerjasama pertahanan ini dikekalkan melalui eksesais dan latihan.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pejabat Pertahanan, Kedutaan AS di Negara Brunei Darussalam, Leftenan Komander Samuel Kim, TLAS serta peserta dari kedua-dua buah negara, para pegawai kanan dan peserta dari ABDB dan TLAS.
Semasa latihan CARAT, pelbagai kegiatan di laut, udara dan darat telah dirancang serta beberapa program Subject Matter Expert Exchange (SMEE) seperti Undang-undang, Kesedaran Maritim (MDA), Pertukaran Perubatan, Latihan Perlindungan Pasukan, Maritime Aviation Practices, Expeditionary Mine Countermeasures (Ex MCM), Program Interaksi Wanita dan Pancaragam.
Selain itu, program amal melalui aktiviti muzik akan berlangsung di Pusat Perkembangan Kanak-kanak, Kiarong dan kepada orang awam di Pusat Membeli-belah One City, Salambigar.
Eksesais CARAT yang dilaksanakan secara tahunan itu bertujuan untuk meningkatkan interoperability, profesionalisme dan kecekapan kedua-dua angkatan tentera dan agensi-agensi yang mengambil bahagian serta meningkatkan kerjasama dalam memberikan tindak balas dalam menangani cabaran keselamatan tradisional dan bukan tradisional.
Ia berlangsung selama 11 hari, bermula 9 September dan akan berakhir pada 19 September.