Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Eksesais Sembilang Siri 12/2017 yang berlangsung selama empat hari bermula 25 April berakhir dengan majlis penutup yang diadakan di Dewan Nahkoda Pusat Latihan Tentera Laut, Jumaat lalu.
Menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei, eksesais di antara Polis Marin Pasukan Polis Diraja Brunei dan Tentera Laut Diraja Brunei itu dibahagikan kepada tiga fasa yang melibatkan latihan ilmiah dan penyampaian taklimat dari agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang yang dijemput dan latihan Table Top, operasi gabungan yang telah diadakan di kawasan perairan Sungai Brunei dan persekitarannya serta sukan interaksi bagi merebut Piala Sembilang.
Eksesais Sembilang Siri 12/2017 telah dirasmikan oleh Pemerintah Armada, Tentera Laut Diraja Brunei, Kdr Spry bin Haji Seruji selaku tetamu kehormat.
Pada majlis penutup berkenaan, ucapan rumusan Eksesais Sembilang Siri 12/2017 telah disampaikan oleh Komander Kumpulan Petugas DSP Pengiran Muhaimin bin Pengiran Haji Mustapha.

Beliau berkata, ketiga-tiga fasa eksesais berkenaan telah dapat dijalankan dengan lancar dan sempurna di mana kedua-dua belah pihak telah dapat mengambil manfaat dan pengetahuan daripada setiap latihan yang dijalankan dan yang lebih mustahak lagi sewaktu latihan dijalankan tidak ada sebarang kemalangan berlaku.
Kenyataan menyatakan, dengan membuat latihan bersama seperti ini kedua-dua buah agensi akan dapat mempertingkatkan kesefahaman dalam melaksanakan operasi-operasi sepadu maritim dari segi perisikan, rondaan dan gerakan bersama.
Selain daripada itu, eksesais juga akan dapat mempertingkatkan keberkesanan dalam pencegahan jenayah yang menyalahi undang-undang Negara Brunei Darussalam.