Saturday, March 15, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Eksesais uji keupayaan ABDB

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat menyaksikan secara dekat Eksesais Hikmat Bersatu VI/2021 (HB VI/2021), yang menguji keupayaan tentera.

    Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya disembahkenalkan dengan ketua-ketua pengendali bagi eksesais tersebut.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian dijunjung beredar ke Bilik Taklimat, Markas Angkatan Bersama ABDB bagi sembah alu-aluan daripada Pemerintah ABDB, diikuti dengan sembah penerangan operasi mengenai Eksesais HB VI/2021 oleh Pemerintah Angkatan Bersama ABDB, Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abdul Kadir.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat ke kapal KDB Daruttaqwa, bagi menyaksikan latihan tersebut, kelmarin.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menaiki bot TLDB.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ketika berkenan berangkat ke majlis santap tengah hari bersama pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan ABDB di Mes Pegawai TLDB.
    Baginda Sultan dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ketika berkenan menyaksikan Eksesais HB VI/2021.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ketika berangkat tiba di atas KDB Daruttaqwa.
    DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen turut berkenan menyertai pasukan operasi menyelamat tawanan.

    Antara aksi Eksesais Hikmat Bersatu VI/2021 di Perkampungan FIBUA, kelmarin.

    Setelah itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat beredar untuk melawat Pusat Gerakan Bersama dan komponen-komponen di bawahnya sebelum berangkat ke Perkampungan FIBUA (Fighting in Built Up Area), Penanjong Garison menaiki pesawat helikopter Blackhawk S70i.

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di tapak pendaratan Penanjong Garison dijunjung oleh Komandan Institut Latihan ABDB, Kolonel (U) Haji Haszahaidi bin Haji Ahmad Daud sebelum beredar ke Perkampungan FIBUA.

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Perkampungan FIBUA dijunjung oleh Timbalan Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Kolonel Azman bin Haji Bangkol.

    Baginda seterusnya dijunjung mendengarkan sembah taklimat daripada Pegawai Pemerintah Batalion Ketiga, TDDB, Leftenan Kolonel Haji Alimin bin Haji Subohi, sebelum menyaksikan operasi bersama yang dikendalikan oleh TDDB dan Rejimen Pasukan Khas
    ABDB, dengan sokongan daripada British Forces Brunei.

    Operasi tersebut menunjukkan keupayaan ABDB dalam menjalankan operasi gabungan di pelbagai persekitaran sambil menuju ke arah suasana bandar.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya dijunjung berangkat menaiki pesawat helikopter Blackhawk S70i dan mendarat di atas kapal KDB Daruttaqwa bagi menyaksikan serangan penahanan di laut (Maritime Interdiction Operations).

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Pemerintah Armada Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Kapten Khairil bin Haji Abdul Rahman.

    Baginda kemudiannya juga menyaksikan operasi menyelamat mangsa yang ditawan kumpulan penggempur yang merampas kapal di mana paduka anakanda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen turut menyertai pasukan operasi menyelamat tawanan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya dijunjung berangkat menaiki pesawat helikopter Blackhawk S70i menuju ke Pengkalan TLDB.

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Timbalan Pemerintah TLDB, Kapten Haji Mohamad Sarif Pudin bin Matserudin.

    Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi Eksesais HB VI/2021 berakhir di Mes Pegawai TLDB bagi majlis santap tengah hari bersama pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan ABDB.

    Selepas majlis santap, Baginda berkenan menerima pesambah, diikuti dengan menandatangani lembaran kenangan keberangkatan dan sesi bergambar ramai.

    Senario Eksesais HB VI/2021 itu memberi tumpuan terhadap sumbangan ketenteraan dalam menangani ancaman keselamatan bukan tradisional seperti serangan pengganas dan isu jenayah penyeludupan dan barang-barang tegahan.

    Eksesais itu telah bermula pada 26 Julai lalu dan akan berakhir pada penghujung Julai.

    Turut terlibat semasa eksesais itu ialah Pasukan Polis Diraja Brunei, Pasukan Simpanan Gurkha dan Batalion Kedua Royal Gurkha Rifles.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda