Wednesday, February 12, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Eksoskeleton bantu warga emas mendaki gunung

    JINAN, 12 FEB – Semasa Festival Musim Bunga tahun ini, Gunung Tai di timur Wilayah Shandong China, salah satu gunung paling ikonik di negara ini, dilawati oleh warga emasi dengan memakai eksoskeleton yang inovatif.

    Alat boleh pakai atau wearable device yang direka khas untuk membantu pendakian, telah mendapat perhatian kerana keupayaannya menjadikan pendakian yang sukar di Gunung Tai lebih mudah dan menyeronokkan, terutamanya untuk pelawat warga emas dan golongan cacat pergerakan.

    “Ia benar-benar berkesan. Sebaik sahaja saya memakainya, kaki saya tidak sakit lagi. Rasanya seperti seseorang menarik saya ke atas bukit,” kata Li Chengde, seorang pelancong berusia 68 tahun dari ibu kota wilayah Jinan, selepas mencuba alat berkenaan.

    Seorang kakitangan menguji pemakaian eksoskeleton berkenaan di Gunung Tai, Shandong pada Januari 2025. – Xinhua

    Dibangunkan bersama oleh Taishan Cultural Tourism Group (TCTG) dan syarikat berteknologi tinggi, Kenqing Technology yang berpangkalan di Shenzhen, eksoskeleton, dengan berat hanya 1.8 kg, boleh dililit di pinggang dan peha pemakai.

    Juga dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) untuk meredok rentak dan pergerakan pemakai, memberikan bantuan yang diselaraskan untuk kurangkan keletihan dan ketegangan sendi.

    Dilancarkan pada 29 Januari lalu dengan 10 unit untuk disewa sebagai percubaan, alat itu berjaya menarik perhatian lebih 200 pengguna pada harga 60 yuan (kira-kira AS$8.37) hingga 80 yuan untuk sekali pendakian di kawasan yang indah semasa cuti.

    Reka bentuk eksoskeleton yang digunakan oleh warga emas untuk membantu pendakian. – Xinhua

    Wang Houzhe, timbalan ketua Parti TCTG, berkata robot eksoskeleton itu diperkenalkan bagi membantu pengunjung warga emas berpeluang merasai sendiri keindahan gunung itu.

    “Sesetengah pelancong warga emas ingin menikmati pemandangan sepanjang perjalanan, tetapi jika hanya duduk di dalam kereta kabel boleh mengehadkan pemandangan mereka. Dengan bantuan robot ini, mereka sendiri benar-benar dapat merasai keseronokan mendaki,” katanya.

    Pengenalan eksoskeleton sedemikian telah mencetuskan perbincangan yang lebih luas tentang potensi aplikasi penggunaannya di kalangan warga emas, terutamanya di negara China yang menghadapi cabaran masyarakat yang semakin tua.

    Dengan ramalan mengatakan unjuran 30 peratus warga tua daripada populasi China menjelang 2035, Kenqing Technology, meneruskan fokus pada kajian, pengeluaran dan penjualan robot eksoskeleton untuk pengguna warga emas.

    Usaha terbabit adalah menyepadukan penderia termaju dan sistem kawalan gerakan untuk membantu berjalan, berlari dan mendaki, kata Yu Yunbo, pengurus besar syarikat itu.

    Yu menambah bahawa syarikat itu menyasarkan untuk mengeluarkan model robot baharu tahun ini, menampilkan bahan yang lebih ringan, algoritma yang lebih bijak dan kebolehsuaian yang dipertingkatkan kepada keperluan fizikal pengguna warga emas.

    Garis panduan kebangsaan untuk memajukan ekonomi yang menumpukan warga emas, mencadangkan pelbagai penciptaan model baharu termasuk kesihatan pintar dan penjagaan warga emas, promosi penggunaan robot kejururawatan pintar dan perkhidmatan domestik serta pembangunan industri peranti bantuan pemulihan.

    Bulan lalu, satu lagi garis panduan kebangsaan dilancarkan yang mencadangkan pecutan pembangunan dan aplikasi teknologi penjagaan warga emas dan teknologi maklumat.

    “Aplikasi besar-besaran teknologi seperti ini akan mengurangkan kos, menjadikannya lebih mampu milik untuk keluarga,” kata Yu. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda