Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ekspedisi amal Hari Keputeraan

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Ogos – Lebih 150 orang peserta sama-sama menyertai kegiatan amal sambil beriadah iaitu Acara Berbasikal Varsiti 2.0 bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71 yang berlangsung di perkarangan Universiti Teknologi Brunei (UTB), hari ini.

    Acara berbasikal varsiti berkenaan merupakan ekspedisi berbasikal amal bagi mengutip sumbangan untuk Yayasan Kanser Kanak-Kanak (YASKA) di mana ekspedisi itu dianjurkan bersama oleh Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), UTB dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan para peserta ekspedisi berbasikal itu memulakan perjalanan mereka dari UTB dan kembali ke UBD.

    Ekspedisi berbasikal sejauh 71 kilometer berkenaan bermula di perkarangan UTB dengan pelepasan para peserta disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad.

    Dr. Haji Azman menyempurnakan pelepasan para peserta dalam ekspedisi berbasikal varsiti berkenaan.
    Dr. Haji Azman menyempurnakan pelepasan para peserta dalam ekspedisi berbasikal varsiti berkenaan.

    Turut serta dalam ekspedisi berbasikal berkenaan ialah Naib Canselor UBD, Datin Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz; Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal; Naib Canselor UTB, Prof. Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman: Pemangku Ra’es KUPU SB, Dr. Haji Adnan bin Haji Basar, pegawai-pegawai kanan, pensyarah, kakitangan dan penuntut-penuntut dari keempat-empat buah universiti berkenaan serta orang ramai.

    Ekspedisi itu meliputi laluan Lebuh Raya Muara-Tutong menuju ke Empire Hotel & Country Club sebelum berpatah balik melalui Lebuh Raya Tungku dan Lebuh Raya Sultan Hassanal Bolkiah menuju ke Bandar Seri Begawan sebelum membuat perhentian pertama di kawasan Jabatan Perdana Menteri yang dihoskan oleh UNISSA dan kemudian bergerak menuju ke RPN Lambak Kiri di mana mereka membuat perhentian kedua dan dihoskan oleh KUPU SB serta seterusnya menamatkan ekspedisi sejauh 71 kilometer di Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemjuan (ILIA), UBD.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda