KATHMANDU – Tanggal 30 April 2017 adalah detik bersejarah bagi saya serta 61 orang pendaki Malaysia yang lain kerana berjaya menamatkan cabaran ekspedisi ke Kem Pangkalan Annapurna (ABC), antara beberapa puncak Banjaran Gunung Himalaya di Nepal.
Masih terngiang-ngiang di telinga laungan azan serta lagu Negaraku bergema di persekitaran kem yang terletak di ketinggian 4,130 meter dari paras laut.
Bagi penulis sendiri yang hanya aktif dalam dunia pendakian sejak tiga tahun lalu, kejayaan sampai ke ABC itu amat bermakna. Perasaan ini turut dikongsi 31 pengamal media lain dari Berita Harian, NSTP, Harian Metro, Utusan Malaysia, Kosmo, Astro Awani, TV Al-Hijrah termasuk tiga lagi wartawan Bernama iaitu Ketua Biro Bernama Pahang, Noor Shamsiah Mohamed, petugas Bernama Putrajaya Linda Khoo dan pemberita sambilan Bernama Pahang, Mohd Hafiz Abas.
Pendaki lain terdiri daripada pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia dan ahli Kelab Eksplorasi Jerangau Barat, Terengganu dan Kelab Belia Kuantan.
Kami semua dinobat sebagai “ABC summiteer” apabila berjaya tiba di kem berkenaan dengan selamat pada pukul 2 petang (waktu tempatan) 30 April itu dalam ribut salji dengan suhu mencecah -5 darjah Celsius.



Latihan yang berterusan kunci kejayaan
Mengimbas detik perjalanan ke ABC yang mengambil masa kira-kira lima hari untuk disempurnakan, wakil Kelab Eksplorasi Jerangau Barat atau Kelek JB, Azizie Che Aziz berkata, beliau pada mulanya sedikit gusar memikirkan keadaan sebenar di ABC. Cuaca di kawasan banjaran Himalaya sangat berbeza degan keadaan tanah tinggi di Malaysia yang beriklim tropika.
“Sebab itulah sebelum ke ABC, saya dan rakan-rakan kelab menjalani latihan di Gunung Kinabalu yang mempunyai ketinggian hampir sama dengan ABC, iaitu 4,095 meter dari paras laut. Ketika itu saya telah mengalami AMS, iaitu Acute Mountain Sickness atau bahasa biasanya “mabuk altitud tinggi” dan risau ia berulang kembali di ABC.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana berjaya mengharungi semua cabaran tersebut dengan bantuan rakan pendaki dan akhirnya impian menjadi salah seorang ABC summiteer dimakbulkan Allah,” katanya kepada Bernama.
Azizie yang menjadikan sukan mendaki sebagai hobi turut menasihatkan pendaki amatur agar tidak mengabaikan persediaan mental dan fizikal setiap kali ingin menyertai mana-mana ekspedisi pendakian, tidak kira sama ada pada ketinggian yang sederhana atau pendakian beraltitud tinggi.
“Pesan mentor saya, setiap kali ingin menyertai apa-apa pendakian, perlu melakukan latihan fizikal yang berterusan untuk menguatkan stamina dan juga ketahanan tubuh badan.
“Persediaan itu penting agar kemalangan dan kecederaan dapat dielakkan dan tidak menyulitkan peserta lain,” katanya yang berasal dari Kampung Jerangau Barat, Hulu Terengganu.
Persediaan lapan bulan
Ekspedisi yang melibatkan perjalanan (trekking) sejauh 82.68 kilometer itu diketuai pewarta TV3 Wilayah Pantai Timur, Mohd Fazli Ahmad, manakala pendakian ke ABC diketuai Mohd Fakhrul Munir dari Summit Attack Resources, syarikat pelancongan yang menguruskan ekspedisi ini.
Persiapan sebelum ke ABC memakan masa lebih lapan bulan dan Fazli selaku ketua misi mengingatkan kami supaya membuat persediaan mental serta fizikal yang secukupnya bagi memastikan tahap kesihatan yang mantap untuk menyempurnakan misi yang bakal dicatat dalam Malaysia Book Of Record ini.
Maklum sahajalah kami dari pelbagai latar belakang malah ada antara peserta yang baru sahaja berjinak-jinak dengan sukan mendaki. Tambahan pula trek ABC bukanlah calang-calang trek kerana ia adalah trek beraltitud tinggi dan pelbagai risiko dan kemalangan boleh berlaku jika pendaki tidak membuat persediaan yang rapi.
Kami semua menjalani latihan lasak serta mendaki beberapa gunung di tanah air yang berketinggian melebihi 1,000 meter seperti Gunung Gagau di Terengganu, Gunung Irau di Cameron Highlands dan Gunung Kinabalu di Sabah dan Gunung Ledang di sempadan Johor-Melaka.
Ini termasuk latihan berpusat terakhir bersama pegawai dan anggota JPBM di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wilayah Tengah, Kuala Kubu Bharu membabitkan pendakian Bukit Kutu, di kawasan yang sama pada Januari lalu.
Peserta juga diingatkan supaya membawa set pakaian lengkap sesuai dengan keperluan pendakian untuk cuaca biasa dan ketika di altitud tinggi. “Saya juga bawa topi macam yang biasa digunakan pemancing kerana ketika trekking kami terdedah kepada pancaran terus matahari kerana berada di altitud tinggi.
“Memanglah berlapis-lapis pakaian ketika mendaki di altitud tinggi dan menjadikan saya kelihatan gempal tapi taklah berat sangat kerana bahan pakaian dari jenis yang ringan,” kongsi penulis.
Setiap pendaki perlu membawa sendiri beg galas yang mengandungi keperluan asas seperti makanan, air minuman, ubat-ubatan dan sepersalinan pakaian jika berlaku kecemasan atau terperangkap di mana-mana lokasi. – Bernama