Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Nov – Ekspo Satu Kampung Satu Produk (1K1P) hari ini membuka tirainya di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, petang tadi.
Hadir bagi merasmikan majlis yang diselajurkan dengan pelancaran logo baru 1K1P Negara Brunei Darussalam tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.
Ekspo anjuran Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri itu diadakan untuk mewujudkan platform bagi para pengusaha 1K1P di negara ini mempromosikan dan meluaskan lagi pasaran produk mereka secara langsung kepada pembeli.
Ekspo lima hari yang bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam itu menghimpunkan kesemua produk 1K1P dari keempat-empat daerah dan dijual di lokasi tumpuan orang ramai bagi memudahkan masyarakat untuk melihat, merasai dan mendapatkannya secara terus daripada pengusaha yang terlibat.
Ekspo ini memfokuskan promosi dan jualan produk, pelancaran logo baru 1K1P, sesi padanan perniagaan yang akan menemukan pembeli dari dalam dan luar negara dengan pengusaha dan sesi seminar atau taklimat bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengusaha dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan swasta yang berkaitan dan berkepentingan.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/ekspo-20p3-rubie_021117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/Page-3-10_021117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/1-15cm-rubie_021117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/Page-3-6_021117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/2-5p4-rubie_021117.jpg)
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) telah bekerjasama dengan Kedutaan Jepun untuk mendatangkan seorang pakar untuk berkongsi pengalaman dan dalam meningkatkan sara hidup di Takaoka, Jepun.
Seramai 80 pengusaha dari kalangan majlis-majlis perundingan mukim dan kampung menyertai acara yang berakhir pada 5 November ini dengan mempromosikan jualan produk makanan dan kraf tangan.
Selain itu, seramai 40 pengusaha dari kalangan negara-negara ASEAN dan tiga buah negara Asia iaitu Jepun, China dan Korea turut mempamerkan produk masing-masing.
Penglibatan mereka memberi peluang kepada pengusaha 1K1P untuk berkongsi pengetahuan, kemahiran dan membina rangkaian kerja bagi meningkatkan kualiti dan pasaran produk di dalam dan luar negara.
Persembahan kebudayaan daripada anak-anak tempatan dan beberapa negara ASEAN, aktiviti cabutan bertuah dan ASEAN Food Festival yang dikendalikan oleh chef-chef dari hotel dan restoran juga diadakan bagi mempromosikan produk dan masakan tradisional tempatan serta luar negara.
Turut hadir pada majlis perasmian petang tadi ialah tetamu khas yang terdiri daripada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, pesuruhjaya tinggi dan duta-duta ke negara ini, setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, pegawai kanan, penghulu mukim, ketua kampung, ketua-ketua rumah panjang dan ahli-ahli Jawatankuasa Pandu Program 1K1P Peringkat Kebangsaan.
Terdahulu sebelum majlis pelancaran berlangsung, Timbalan Setiausaha Tetap di KHEDN, Haji Mohammad Sunadi bin Haji Buntar dalam ucapannya menjelaskan, tujuan melaksanakan projek 1K1P adalah untuk membawa masyarakat agar mereka lebih kreatif, inovatif, berdikari, berdaya tahan, berdaya saing, mempunyai semangat yang kental serta ingin maju serta berjaya.
“Di samping itu, ia juga berhasrat untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dengan penyertaan dalam aktiviti ekonomi berkaitan 1K1P,” katanya.
Menurut beliau lagi, untuk mengendalikan ekspo ini, KHEDN telah bekerjasama dengan Syarikat D’Sunlit Sdn Bhd selaku pengurus acara bagi menguruskan dan mentadbir petak-petak jualan serta membuat persediaan agar ekspo berjalan lancar.
Beliau berharap agar ekspo itu memberi manfaat selaras dengan hala tuju dan objektif KHEDN untuk mengangkat serta mengiktiraf usaha majlis perundingan mukim dan kampung serta masyarakat di peringkat akar umbi di dalam menghasilkan produk yang mempunyai nilai komersial bagi menambah pendapatan dan meningkatkan sara diri sebagaimana yang dihasratkan dalam Wawasan Brunei 2035.