Thursday, December 26, 2024
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ekspo 1K1P ketengah produk tempatan

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Jabatan Daerah Brunei dan Muara dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampung (MPK) Jerudong B, Mukim Sengkurong telah mengadakan Ekspo Jualan 1 Kampung 1 Produk (1K1P) selama empat hari bermula hari ini bertempat di Dewan Muhibbah, Lapangan Terbang Lama, Berakas.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan majlis perasmian ekspo berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri yang sekali gus berkesempatan melawat petak-petak jualan.

    Sepanjang ekspo berkenaan, sebanyak 11 buah kumpulan pengusaha bagi mewakili MPK di Daerah Brunei dan Muara telah berhimpun dalam mengetengahkan pelbagai produk jualan seperti makanan dan minuman, kraf tangan, hasil tanaman buah-buahan dan sebagainya.

    Selain itu, 34 buah vendor luar turut tidak ketinggalan dalam sama-sama mewarnai jualan di ekspo yang berlangsung sehingga 21 November ini.

    Berkesempatan ditemui Media Permata, salah seorang pengusaha wanita berusia 59 tahun yang mewakili MPK Jerudong A dan B, Dayang Masra binti Haji Bayau, antara mengongsikan dengan mengikuti jualan di ekspo berkenaan ia sememangnya dapat membuka jalan kepada mereka selaku pengusaha kecil-kecilan untuk memperkenalkan hasil sentuhan produk di mata masyarakat di negara ini.

    Dengan mengetengahkan pelbagai jenis makanan kering berkonsepkan ‘sedia untuk dimakan’ seperti kuih sapit dan popia gulung, beliau turut berkongsi persiapan secara menyeluruh telah dibuat kira-kira dua hingga tiga minggu sebelum berlangsungnya ekspo ini seperti menyediakan produk yang ingin dijual mengikut perangkaan jumlah tertentu dengan teknik pembungkusan yang menarik dan bersesuaian.

    “Bukan hanya kuantiti penghasilan produk semata-mata, namun kualiti produk dari segi kebersihan sentiasa menjadi pegangan utama,” tekan Dayang Masra yang turut dibantu oleh anak perempuannya, Dayang Nuramalina binti Samsudin.

    Ekspo jualan 1K1P merupakan sebagai salah satu usaha dalam membantu golongan pengusaha atau peniaga untuk mempromosikan keistimewaan produk masing-masing dalam khalayak awam di negara ini.

    Dayang Masra bersama anak perempuannya, Dayang Nuramalina, semasa ditemui Media Permata di ekspo tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH : Awang Mohammad Sofian semasa melawat ke salah satu vendor pada ekspo berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda