DUBAI, 30 SEPT – Ekspo 2020 yang ditunda akibat COVID-19 dibuka di Dubai hari ini dengan majlis pembukaan besar-besaran yang dijangka menjadi acara terbesar dunia sejak pandemik meletus.
Pameran global edisi Dubai, yang pertama diadakan di Timur Tengah, mengharapkan kunjungan 25 juta pelawat dalam tempoh enam bulan ke balai pamerannya di padang pasir.
Pemerintah Dubai Sheikh Mohammed bin Rashid Al-Maktoum pada 1640 GMT dijangka membuka acara yang mengumpulkan lebih dari 190 negara yang dikatakannya akan menjanjikan ‘Ekspo paling luar biasa dalam sejarah acara.’
Tapak Ekspo di pinggir bandar Dubai tidak dibenarkan dikunjungi pelawat semasa ditunda selama setahun. Kerja-kerja seni bina mengagumkan dan senarai panjang inovasi teknologi akan dipaparkan dalam pameran, menunjukkan kepintaran dan pembaharuan teknologi negara yang mengambil bahagian.
Pameran dunia pertama diadakan di London pada 1851, apabila ia ditempatkan di Istana Crystal, dan edisi Paris pada 1889 memaparkan Eiffel Tower, pada mulanya dikhaskan sebagai tarikan sementara.
Ekspo 2020 dibuka dengan mengambil kira peraturan kawalan COVID-19 dan pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial diwajibkan di tapak pameran. Pelawat perlu menerima suntikan vaksin lengkap atau mempunyai ujian PCR negatif untuk masuk.
Pameran merupakan satu lagi pencapaian cemerlang untuk Dubai, yang telah lama berusaha diiktiraf dengan kejayaan sama seperti Burj Khalifa, bangunan tertinggi dunia pada 828 meter. Ramai ahli politik, pemimpin perniagaan, selebriti dan ahli sukan dijangka menghadiri Ekspo, dengan salah satu tarikannya termasuk Harlem Globetrotters dan robot panda China.
Kabin hyperloop, dianggap sebagai masa depan perjalanan dan pengangkutan jarak jauh, adalah antara inovasi yang dipamerkan, sementara Mesir telah mengimport keranda kuno zaman firaun. – AFP
