BEIJING, 18 OKT – Pavilion China antara yang terbesar di Ekspo 2020 Dubai, merekodkan kehadiran pengunjung seramai 100,000 orang dalam tempoh 20 hari sejak dirasmikan.
Kelmarin, seorang pelancong dari Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersama rakannya menjadi pengunjung ke-100,000 sekali gus menyaksikan jumlah pengunjung pavilion China mendominasi seperenam daripada keseluruhan pengunjung ekspo berkenaan.
Setakat ini pavilion China yang menyajikan pelbagai teknologi canggih seperti panduan simulasi kereta api berkelajuan tinggi (HSR) telah menerima kunjungan delegasi dari 30 negara termasuk UAE, Austria dan Rusia.
Selain pameran bertemakan teknologi, aspek kebudayaan yang dipamerkan di pavilion itu turut menarik perhatian Timbalan Presiden Zimbabwe, Constantino Chiwenga.
“Pameran berkenaan menonjolkan budaya dan unsur simbolik China yang dapat mencerminkan pembangunan China pada zaman moden,” kata beliau.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Biro Pameran Antarabangsa (BIE), Dimitri S. Kerkentzes turut mengiktiraf nilai yang ditampilkan pavilion China dan yakin ia mampu menarik kedatangan ramai pelawat.
“Pavilion China bukan saja menggambarkan pemahaman negara itu terhadap perpaduan dan kerjasama, malah turut memaparkan konsep nilai dunia berteraskan kerjasama,” katanya. – Bernama
