Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Pelbagai produk halal akan diketengahkan semasa Ekspo Antarabangsa Produk dan Perkhidmatan Halalan Thayyiban yang akan diadakan di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah bermula esok hingga 7 Jun.
Dianjurkan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bagi mendukung Seminar Antarabangsa Produk dan Perkhidmatan Halalan Thayyiban ke-6 (SAPPHAT VI), ekspo berkenaan diadakan bersempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (MYCE) 2023 yang merupakan acara tahunan kelolaan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP).
Semasa ekspo berkenaan, orang ramai akan dapat meningkatkan ilmu dan pengetahuan tentang isu-isu kontemporari halal, mengetahui peranan agensi-agensi kerajaan dan berautoriti dalam pensijilan Halal, serta berpeluang untuk berinteraksi dengan badan-badan pensijilan halal dari negara-negara serantau dan antarabangsa Ekspo ini juga akan menampilkan peniaga-peniaga produk yang mempunyai Sijil Halal dan Permit Halal, serta syarikat-syarikat pelaburan langsung asing (FDI) yang terlibat secara langsung dengan industri halal.
Orang ramai khususnya peniaga-peniaga industri berkaitan halal yang ingin menaik taraf kualiti produk dan perniagaan, para pelajar dan pengkaji bidang halal serta orang-orang yang berminat adalah sangat dialu-alukan untuk mengunjungi ekspo berkenaan.
Ia turut disokong oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Datastream Digital Sdn Bhd (DST), D’Sunlit Sdn Bhd, Ghanim International Corporation Sdn Bhd, Marimin Sdn Bhd dan T.LT Enterprise.