NINGBO, 10 JUN – Syarikat dari Eropah Tengah dan Timur giat memanfaatkan peluang kerjasama dengan rakan kongsi China, sebagai usaha untuk melebarkan sayap ke pasaran negara ini.
Ekspo China-Negara Eropah Tengah dan Timur (CEEC) edisi kedua yang sedang berlangsung di sini, menghimpunkan ramai pempamer susulan kegiatan pelaburan dan perdagangan antara dua pihak itu bertambah rancak.
Naib Menteri Perdagangan China, Wang Bingnan, berkata meskipun pandemik COVID-19 membadai dunia, kerjasama berkenaan terus kukuh dengan nilai dagangan buat pertama kali melepasi AS$100 bilion pada 2020. Beliau berpandangan, ekspo tersebut diyakini mampu menjanjikan lebih banyak peluang kepada setiap pempamer.
“Pameran ini dijangka mampu membantu kami untuk mencapai matlamat mengimport barangan bernilai AS$170 bilion dari CEEC seawal mungkin dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Ia juga akan memperluas kerjasama dua pihak membabitkan ekonomi digital, perlindungan alam sekitar, perubatan dan kesihatan,” ujar Wang ketika merasmikan ekspo berkenaan. Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Poland, Jarosław Gowin berkata syarikat negara itu bersedia untuk meneroka pasaran China dengan menyertai ekspo kali ini.
“Saya berasa bangga apabila melihat jalinan perdagangan kita (Poland dan China) kekal erat dan bertahan dalam tempoh sukar ini,” kata beliau. Pada tahun lalu, nilai dagangan dua hala dicatat meningkat hampir 14 peratus, manakala eksport Poland ke China menyaksikan kenaikan ketara. – Bernama
