Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Julai – The Fruits of BIMP-EAGA: Culture & Food in Tourism Expo 2017 kini kembali lagi buat kali ketiganya yang dipenuhi dengan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik yang berkonsepkan kebudayaan dan makanan yang akan diadakan selama empat hari, bermula pada 27 hingga 30 Julai nanti di The Atrium, Airport Mall, Berakas.
Perkara ini telah pun diumumkan oleh Pengerusi BD-BEBC, Pengiran Yura Kesetria bin PSN Pengiran Haji Mohd Yusuf semasa sesi sidang media yang berlangsung di Ibu Pejabat BD-BEBC, di Airport Mall pagi tadi.
Menurutnya, ekspo pelbagai budaya ini adalah bertujuan untuk menggalakkan pertukaran budaya antara negara-negara BIMP-EAGA di samping menyokong dan mempromosikan budaya tradisi di dalam BIMP EAGA.
Selain itu, ia juga untuk mempromosikan makanan tradisional dan pelancongan makanan di antara BIMP-EAGA.
Ekspo itu nanti dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof yang akan turut melancarkan buku masakan terbaru, ‘Fruit and Flowers in Cooking’ dan pelancaran siri buku masakan kanak-kanak ‘Happylicious’.

Ekspo itu nanti akan diisikan dengan beberapa aktiviti menarik, antaranya pertandingan dan pameran BIMP-EAGA Tepak Sirih Pengantin, Malam Kebudayaan dan Makanan Malaysia, demo masakan daripada cef-cef tempatan dan jemputan, demonstrasi gubahan bunga dan ukiran buah, permainan tradisi, taklimat motivasi mengenai kehidupan sihat dan banyak lagi.
Antara cef-cef terkenal yang akan menyertai ekspo ini ialah Cef Siti Mastura, Cef PN Sri Nisa Bakri, Cef Sarah, Cef Jali, Cef Luqman Hakim dan Cef Yusof, yang mana mereka akan mengadakan demo masakan bagi memberikan peluang untuk para pengunjung belajar dan menikmati hidangan yang disediakan.
Selain itu, Pertandingan BIMP-EAGA Culinary Challenge 2017 juga turut dibukakan kepada orang ramai sahaja dan bukan kepada pakar-pakar cef, yang terhad kepada 15 penyertaan.
Pertandingan yang disokong oleh Supa Save dan SKH Supermarkets ini akan mengadakan sebanyak empat cabaran yang berbeza sepanjang ekspo diadakan dan pada cabaran terakhir, hanya enam orang peserta akan terpilih di pusingan terakhir.
Bagi orang ramai yang berminat bolehlah mengisikan borang penyertaan yang boleh didapati di Ibu Pejabat BD-BEBC dan tarikh penyertaan dibukakan sehingga 17 Julai ini.
The Fruits of BIMP EAGA: Culture & Food in Tourism Expo 2017 diadakan dengan kerjasama The Brunei Tourism, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Program Inisiatif Belia dan Kotej (CYiP), Pusat Pembangunan Belia dan BD-BEBC.
Pada masa ini juga, BD-BEBC juga mengalu-alukan para peniaga yang ingin menyertai jualan di sepanjang ekspo itu diadakan. Bagi usahawan yang berminat bolehlah mengunjungi Ibu Pejabat BD-BEBC.