Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ekspo Dubai: M’sia sasar nilai pelaburan RM10 bilion

    PUTRAJAYA, 29 April – Malaysia menyasarkan untuk meraih nilai pelaburan dan perniagaan berpotensi berjumlah RM10 bilion daripada Ekspo 2020 Dubai, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin. Beliau berkata Malaysia turut mahu memperolehi 1,000 minat perniagaan dan memeterai 20 perjanjian perkongsian sepanjang ekspo selama enam bulan itu.

    “RM10 bilion pelaburan berpotensi itu akan terhasil daripada pakatan strategik dalam minat perniagaan dan pemeteraian perjanjian bersama,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

    Hadir sama Timbalan Ketua Misi Emiriah Arab Bersatu ke Malaysia, Nailofer Al Bastaki.

    Mengenai pelaburan berpotensi, Yeo berkata ia bergantung kepada penyertaan sektor swasta dalam enam kluster terutama tenaga bersih dan industri hijau yang akan menjadi antara tumpuan utama.

    Enam kluster itu adalah pertanian lestari dan komoditi utama; tenaga, sains, teknologi dan inovasi serta alam sekitar; kebudayaan dan pelancongan; e-dagang serta teknologi maklumat dan komunikasi; perdagangan dan industri 4.0 selain pendidikan, wanita dan belia.

    “Kita mempunyai lebih 200 slot bagi syarikat tempatan dari sektor awam dan swasta untuk mempamerkan barangan dan penyelesaian masing-masing kepada dunia menerusi Ekspo 2020 Dubai,” katanya.

    Beliau berkata kira-kira RM60 juta akan dibelanjakan untuk menyertai ekspo ini dengan sebahagian besar kos itu akan ditaja oleh sektor swasta.

    “Expo 2020 Dubai akan menjadi platform terbesar bagi Malaysia untuk berkongsi visi, aspirasi, budaya dan warisan kita kepada dunia,” katanya.

    Yeo juga menggalakkan syarikat Malaysia menyertai tender terbuka bagi mereka bentuk dan konsep ‘Malaysia Pavilion’ bagi ekspo tersebut.

    Beliau berkata kempen jenama pavilion tersebut, iaitu ‘Butterfly Effect’ akan dilancarkan tidak lama lagi, dan ia mewakili Malaysia sebagai sebuah negara kecil namun berupaya memberi kesan ketara di dalam dunia.

    “Kita berharap bakat tempatan akan menggunakan kreativiti masing-masing dalam mereka bentuk pavilion tersebut untuk menyerlahkan kehadiran Malaysia di sepanjang ekspo yang akan disertai 190 negara itu,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda